Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan Negeri Perlu Rangka Pendekatan Holistik Tangani Jenayah Siber

7
SHARE

KUALA TERENGGANU — Kerajaan negeri digesa mengambil pendekatan lebih menyeluruh bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, berkata satu pelan tindakan holistik dirangka segera oleh kerajaan negeri bagi membanteras jenayah siber dan memperkukuh literasi digital dalam kalangan rakyat Terengganu.

“Saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada satu isu yang semakin meruncing, iaitu peningkatan kes jenayah siber di negeri kita,

“Menurut statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, sebanyak 1,330 kes jenayah siber direkodkan sepanjang tahun 2024, dengan kerugian melebihi RM42 juta serta peningkatan 93 kes berbanding tahun sebelumnya.

“Jumlah ini sangat membimbangkan kerana ia melibatkan rakyat daripada pelbagai latar belakang dan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan mereka,” ujar beliau ketika membahaskan isu keselamatan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Tambahnya, antara bentuk penipuan yang paling kerap berlaku ialah pembelian dalam talian palsu, skim pelaburan tidak sah, penyamaran sebagai pegawai kerajaan serta pencurian data peribadi.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik inisiatif kerajaan persekutuan seperti kempen kesedaran siber, talian aduan 997 oleh CyberSecurity Malaysia dan portal SemakMule oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun menekankan perlunya tindakan tambahan di peringkat negeri.

“Saya menggesa Kerajaan Negeri Terengganu agar memperluaskan program kesedaran keselamatan siber ke segenap lapisan masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar serta dalam kalangan warga emas dan pelajar,” katanya.

Zuraida turut mencadangkan agar Pusat Khidmat Masyarakat, masjid, surau serta pihak berkuasa tempatan digerakkan sebagai pusat penyebaran maklumat dan pendidikan digital.

Selain itu, beliau berkata penyediaan geran kecil dan sokongan logistik kepada NGO dan komuniti yang aktif sangat perlu bagi mendidik masyarakat tentang keselamatan siber.

“Kita tidak boleh membiarkan rakyat terus menjadi mangsa jenayah moden ini.

“Teknologi bukan sahaja membawa kemudahan, tetapi juga cabaran baharu yang perlu dihadapi dengan pendekatan baharu,” tegas Zuraida.