Oleh : HABSAH ALI
Raub, 12 Apr – “Tindakan Ahli Parlimen Raub YB Chow Yu Hui, menghalang operasi penguatkuasaan terhadap pencerobohan kebun musang king di Raub baru-baru ini, menggambarkan situasi kerajaan lawan kerajaan,” kata Ahli Dewan Negeri Beserah YB Dato’ Andansura Rabu.
Beliau berkata demikian memandangkan DAP merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri yang sepatutnya menyokong usaha penguatkuasaan undang-undang.
Tegas beliau, kerajaan negeri Pahang serta agensi-agensi penguat kuasa yang terlibat, khususnya Unit Penguatkuasaan Negeri, perlu membuat laporan polis dengan segera terhadap Ahli Parlimen Raub tersebut, demi menjaga integriti pentadbiran dan undang-undang negeri.
Menurut beliau, tindakan Chow Yu Hui menghalang pegawai-pegawai awam daripada menjalankan tugas penguatkuasaan adalah satu kesalahan berat dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri di atas tiga sebab.
Pertama jelasnya, tindakan menghalang pegawai awam daripada melaksanakan tugas merupakan satu perbuatan jenayah yang tidak wajar dibiarkan tanpa tindakan.
Kedua, beliau menegaskan bahawa tindakan tersebut juga bercanggah dengan sumpah Ahli Parlimen yang telah berikrar untuk mematuhi dan mempertahankan undang-undang. “Apa yang beliau lakukan jelas bertentangan dengan semangat dan tanggungjawab seorang wakil rakyat,” katanya lagi.
Ketiga, beliau mendakwa Ahli Parlimen tersebut turut mempromosikan dan mempertahankan aktiviti pencerobohan, walaupun ia melanggar undang-undang. “Walau atas nama kemanusiaan sekali pun, jika ia menyalahi undang-undang, maka tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menyeru agar kerajaan negeri Pahang, khususnya UMNO dan BN yang menerajui kerajaan, berani mengambil langkah tegas termasuk membuat laporan polis.
Beliau turut menyindir sikap sesetengah pihak yang dilihat lebih banyak beraksi di media sosial berbanding bertindak balas terhadap isu-isu penting yang melibatkan kedaulatan undang-undang.
“Jangan hanya aktif di TikTok. Bila berlaku pencerobohan dan provokasi seperti ini, jangan diam. Pemuda UMNO Negeri Pahang perlu bangkit dan bertindak,” tegasnya.
Andansura turut mengajak seluruh rakyat negeri Pahang untuk berdiri teguh mempertahankan undang-undang serta kedaulatan negeri di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Katanya, tindakan tegas amat penting bagi memastikan kepentingan awam dan integriti kerajaan negeri tidak tercemar oleh tindakan segelintir pihak.