KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyampaikan insentif ‘one-off’ sebanyak RM600 seorang, kepada penghibur-penghibur jalanan (buskers) yang terjejas akibat larangan persembahan jalanan bagi 10 malam terakhir Ramadan yang dikuatkuasakan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, insentif itu merupakan pelan sokongan terhadap keputusan yang dibuat.
“Saya tahu jumlah itu tidak besar sangat tetapi, sekurang-kurangnya ia dapat menampung kehilangan daripada pendapatan bagi 10 hari tersebut.
“Sebenarnya, kami ada dua pilihan (ketika itu) sama ada pejam mata dan biarkan, atau bertindak terus dan dalam masa sama menyediakan pelan sokongan (back-up) kerana mengambil kira sebahagian ‘busker’ yang menjadikan aktiviti ini sebagai punca pendapatan mereka, cuma kita tidak sebutkan dalam pekeliling yang diedarkan.
“Kita sama sekali tidak akan lakukan kezaliman, penganiayaan khususnya kepada rakyat kita dalam sebarang tindakan yang diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertemuan dengan para penghibur jalanan di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, asas kepada tindakan adalah aduan daripada orang ramai yang mengaitkan dengan negeri Terengganu yang meletakkan Islam sebagai dasar pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
“Kerajaan negeri perlu sangat berhati-hati dalam semua tindakan termasuk reaksi kepada setiap aduan dan komen daripada umum.
“Kerajaan ini, semua orang kita kena fikir dan lihat dari semua sudut dan semua segi.
“Jadi, saya bagi pihak kerajaan negeri mengambil kesempatan sekiranya saudara saudari marah dengan keputusan itu, memohon maaflah dalam tindakan yang diambil.
“Seperti saya maklumkan tadi, dalam setiap keputusan kita telah letak ‘back-up plan’ sebab kita sama sekali tidak akan menganiaya rakyat kita kerana mereka adalah rakyat yang kami kena bantu,” tambahnya.
Pertemuan tersebut dihadiri sekitar 30 penghibur jalanan, sebahagian daripada 41 orang ‘busker’ yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan untuk persembahan sepanjang bulan Ramadan ini.