Home Berita PAS Perak

Lebih 100 beg darah berjaya dikumpul | Amal Blood Donation 2025

40
SHARE
AMAL BLOOD DONATION 2025 – EDISI KHAS RAMADAN: LEBIH 100 BEG DARAH BERJAYA DIKUMPUL
Taiping, 25 Mac 2025 – Program derma darah Amal Blood Donation 2025 – Edisi Khas Ramadan yang berlangsung di Tabung Darah Hospital Taiping malam tadi mencatat kejayaan apabila sebanyak 107 beg darah berjaya dikumpul daripada 130 pendaftaran yang diterima. Program yang dianjurkan oleh Jabatan Amal Negeri Perak dengan pelaksanaannya oleh Jabatan Amal Bukit Gantang ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Acara yang bermula pada jam 7.50 malam hingga 11.00 malam itu turut menyediakan juadah berbuka puasa di lobi hospital bagi memudahkan para penderma yang ingin beramal sambil menunaikan ibadah puasa.
Menurut pihak penganjur, program ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu meningkatkan bekalan darah di hospital tetapi juga sebagai satu inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan. Antara manfaat menderma darah yang diketengahkan termasuk mendapatkan ganjaran pahala, menyihatkan badan, serta menyelamatkan nyawa.
Program ini turut menerima sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk:
•YB ADUN Changkat Jering
•YB ADUN Trong
•Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Gantang
•Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang
•NAIS Computer
•Klinik Komputer Simpang
Pihak penganjur juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kakitangan Tabung Darah Hospital Taiping atas layanan mesra dan kerjasama yang diberikan sepanjang program berlangsung.
Dengan kejayaan edisi khas ini, diharapkan lebih ramai individu akan terus menyokong dan menyertai program derma darah di masa hadapan bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk mereka yang memerlukan.