Home Berita PAS Terengganu

Keuntungan syarikat Terengganu disalur kepada rakyat

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keuntungan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kerajaan Negeri Terengganu disalurkan terus kepada rakyat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu golongan memerlukan terutamanya menjelang Aidilfitri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata usaha tersebut adalah bukti bahawa keuntungan yang diperoleh GLC negeri tidak hanya memberi manfaat kepada syarikat, tetapi turut dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan sumbangan.

“Inilah salah satu manfaat yang dapat dinikmati oleh masyarakat apabila sesebuah syarikat berjaya memperoleh keuntungan, dan kita boleh kembalikan semula dalam bentuk CSR.

“Semoga bantuan yang diberikan ini membawa sinar kegembiraan kepada anak-anak asnaf serta mereka yang memerlukan, sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam meraikan bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Untuk rekod, antara bentuk bantuan yang diberikan termasuk sumbangan pakaian raya, baucar makanan, serta bantuan kewangan kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak yatim di seluruh negeri.

Tambah Ahmad Samsuri, inisiatif itu diharap dapat meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri, selain mengeratkan hubungan antara GLC dengan masyarakat setempat.