Home Minda Presiden

MENGUTAMAKAN CADANGAN DAP MEMBELAKANGI KETETAPAN ALLAH

49
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 21 / 2025]
MENGUTAMAKAN CADANGAN DAP MEMBELAKANGI KETETAPAN ALLAH


Apabila Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencadangkan had tempoh sepuluh tahun bagi jawatan Perdana Menteri, tiba-tiba ramai yang berlumba-lumba memberikan sambutan positif. Mereka seolah-olah melupakan, jahil atau tidak mempedulikan dasar yang lebih penting bagi mencapai wawasan dunia dan akhirat yang kekal mengikut ketetapan Allah yang mewajibkan Islam memimpin negara.

Hal ini demikian kerana, tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah. Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk meni‘mati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga.

Sebaliknya, Allah telah menetapkan bahawa memimpin negara adalah amanah besar daripada-Nya kepada umat manusia dan mewajibkan kepimpinan Islam yang beriman. Kelayakannya akan hilang apabila berlaku khianat. Firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu supaya menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah Rasul-Nya dan kepada ulu al-amr (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula akibatnya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]

Ditegaskan kewajipan umat Islam untuk berlaku adil kepada semua mengikut ketetapan Allah SWT. Maka, segala urusan umat hanya boleh dikendalikan oleh kalangan yang beragama Islam dan beriman sahaja dengan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Akan tetapi, apabila seseorang pemimpin melakukan perbuatan khianat yang menafikan kelayakannya, maka tugasnya hendaklah ditamatkan. Sepanjang sejarah, semua khalifah Islam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin sehingga akhir hayat mereka.

Allah telah menetapkan bahawa para anbiya’ yang membawa ajaran Islam, juga berperanan sebagai pemimpin. Selepas kewafatan mereka, tugas itu digantikan oleh golongan yang meneruskan ajaran para anbiya’. Firman Allah SWT:

كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ ٢١٣

“Manusia itu ialah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutuskan para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampau (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]

Allah menegaskan bahawa umat para nabi pada zaman dahulu melantik pemimpin yang berpegang teguh kepada petunjuk Allah dan berjuang untuk menegakkannya. Firman Allah SWT:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤

“Dan Kami jadikan dalam kalangan mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka itu meyakini ayat-ayat Kami.” [Surah al-Sajdah: 24]

Rasulullah SAW memberi amaran mengenai kemungkaran yang berlaku akibat menyeleweng daripada ketetapan Allah yang dibawa oleh para anbiya’, sebagaimana sabdanya:

مَا مِنْ نَبيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلَّا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ، ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ، ‌يَقُولُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يَفْعَلُونَ، ‌وَيَفْعَلُونَ ‌مَا ‌لَا ‌يُؤْمَرُونَ، فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الْإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ.

“Tidak dibiarkan seseorang nabi yang diutus oleh Allah kepada umat sebelumku berkeseorangan, melainkan ada bersamanya dalam kalangan umatnya para pengikut yang setia serta para sahabat yang mewarisi ajarannya dan patuh kepada perintahnya. Kemudian, selepas nabi itu tiada lagi (wafat) berlaku penyelewengan (meninggalkan ajarannya), ada kalangan mereka itu yang bercakap perkara yang tidak diamalkan dan mengadakan perkara yang tidak disuruh oleh agama. Oleh itu, sesiapa yang berjihad (berjuang) menentang dengan tangan (melalui kuasa), maka dia beriman. Sesiapa yang berjihad dengan lidahnya, maka dia beriman. Dan sesiapa yang berjihad dengan hatinya, maka dia beriman. Tidak ada lagi iman selepasnya walau sebesar biji yang paling kecil.” [Riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 50, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
Sesungguhnya, penyelewengan yang paling sesat adalah apabila umat Islam terpengaruh dengan golongan bukan Islam. Sedangkan Allah telah menetapkan sempadan kerjasama dengan bukan Islam, sebagaimana firman-Nya:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Allah menghukum mereka yang mencari kemenangan bersama dengan musuh Islam sebagai kelompok munafiq. Firman Allah SWT:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩ وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا ١٤٠

“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan ialah kepunyaan Allah. (139) Dan sungguh Allah telah menurunkan kekuatan kepada kamu dalam al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Kerana sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya, Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafiq dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. (140)” [Surah al-Nisa’: 138-140]

Kita sedang menghadapi ujian apabila berlakunya penentangan terhadap Islam secara terbuka oleh parti DAP, apabila mereka menegaskan dalam perlembagaannya untuk meminggirkan Islam daripada kedaulatan negara dan meneruskan dasar penjajah terdahulu. Di samping itu, para pemimpinnya mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan Islam di negeri-negeri, walaupun hanya melibatkan penganut Islam sahaja.

Jika ada yang bertanya mengapa dahulu boleh bekerjasama tetapi sekarang pula diharamkan, ketahuilah bahawa pengalaman kerjasama PAS dahulu adalah atas titik persamaan menentang penyelewengan, rasuah dan lain-lain. Namun, DAP melanggar sempadan kerjasama itu atas dasar menentang keislaman yang sempurna sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut tafsiran Islam yang sebenar. Maka, hubungan dengan PAS diputuskan.

Adapun pengikut PAS yang diseret keluar bersama DAP terdiri daripada kalangan mereka yang mahu mendiamkan perjuangan Islam yang terbuka atau mengambil langkah yang paling lemah menentang kemungkaran atau mereka yang bersedia menjadi syaitan bisu terhadap kemungkaran atau menyembunyikan kebenaran Islam yang diketahuinya sehingga mendapat laknat Allah. Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّـٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ وَيَلْعَنُهُمُ ٱللَّـٰعِنُونَ ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠

“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. (159) Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan (amal) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Aku Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang. (160)” [Surah al-Baqarah: 159-160]

PAS boleh bekerjasama dengan kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan boleh menerima syarat kepimpinan Islam di Malaysia. Hal ini demikian kerana, tanah air ini telah dimiliki oleh penganut Islam sebelum dirampas oleh kumpulan penjajah.

Mengikut Mazhab Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah, mereka yang layak menerajui kepimpinan negara ialah bangsa atau kaum yang mendominasi umat Islam. Hal ini berdalilkan mesyuarat para sahabat yang memilih ketua negara selepas kewafatan Rasulullah SAW dengan berpegang kepada pesanan Baginda SAW:

‌الْأَئِمَّةُ ‌مِنْ ‌قُرَيْشٍ.

“Para pemimpin itu hendaklah daripada kalangan Quraisy.” [Riwayat al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Qada’, No. 5909, dan Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Mukthirin min al-Sahabah, No. 12307, daripada Anas bin Malik]

Para ulama’ mazhab Ahli al-Sunnah mentafsirkan kaum Quraisy yang disebut dalam hadis merujuk kepada kalangan umat Islam yang mendominasi pada zaman itu. Maka, para pendakwah yang menyebarkan Islam ke seluruh pelosok dunia mengekalkan raja-raja yang memeluk Islam atau khalifah (pemimpin yang dipilih) bersama ulama’ yang memandu pemerintahan mengikut perlembagaan Islam.

Islam yang datang ke Nusantara telah menubuhkan kerajaan Islam berkonsepkan Raja Berperlembagaan yang memerintah dengan adil, sehingga penduduk menerima Islam tanpa paksaan. Rumpun Melayu menjadi penduduk dominan di rantau ini, sehingga perkataan Melayu disamakan dengan Islam, bahkan mana-mana bangsa yang menganut Islam turut dianggap Melayu. Disebabkan itulah, terdapat raja-raja berketurunan Arab dan campuran India Muslim daripada kalangan yang awal berada di rantau ini.

Namun, kekuatan Islam ini telah dirosakkan oleh penjajah yang menjatuhkan kerajaan-kerajaan Islam pada zaman kelemahan mereka.

Maka, umat Islam yang terus berjuang menentang penjajah sehingga berjaya mengusir keluar penjajah asing wajib mempertahankan kedudukan Islam dan kepimpinannya.
Kejayaan awal dapat dilihat apabila Islam berjaya diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera dipertahankan.

Malangnya, golongan liberal yang menguasai politik negara pada hari ini sedang merosakkan sistem yang memberi hak kepada Islam dengan kenyataan mereka secara terbuka dan berani menentang Islam atas nama kebebasan dan demokrasi yang salah. Meskipun tindakan mereka itu melampaui batas dan sempadan kedaulatan Islam serta kedudukan Raja-raja Melayu, kerana mengikut agenda penjajah.

Ini menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan kita masih belum selesai kerana masih ada bala tentera penjajah dalam negara yang terdiri daripada mereka yang berwajah Islam serta makhluk asing yang bersama mereka. Rasulullah SAW telah memberikan amaran:

سَيَخْرُجُ قَوْمٌ فِي فِي آخِرِ الزَّمَانِ قَوْمٌ أَحْدَاثُ الأَسْنَانِ، سُفَهَاءُ الأَحْلاَمِ، يَقُولُونَ مِنْ خَيْرِ قَوْلِ الْبَرِيَّةِ. يَقْرَؤونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ حَنَاجِرَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاقْتُلُوهُمْ، فَإِنَّ فِي قَتْلِهِمْ أَجْرًا، لِمَنْ قَتَلَهُمْ، عِنْدَ اللّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ.

“Akan muncul dalam kalangan umatku pada akhir zaman, satu kumpulan yang jahil tentang agama dan pendek akalnya, tetapi paling pandai bercakap; mereka membaca al-Quran, namun sekadar di kerongkongan sahaja (tidak masuk ke dalam hatinya); mereka terkeluar daripada agama (Islam) laksana panah yang meluncur ke arah sasarannya.

Maka, sesiapa dalam kalangan kamu menemui mereka, maka perangilah (tentanglah mereka) kerana menentang mereka itu beroleh pahala yang besar di sisi Allah pada Hari Kiamat kelak.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Istitabah al-Murtaddin wa al-Mu‘anidin wa Qitalihim, No. 6930 dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Zakah, No. 1066, daripada ‘Ali bin Abi Talib]

Keadaan menjadi lebih parah sehingga membawa kemusnahan, apabila kalangan yang sesat itu diberi amanah menjadi pemimpin. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.

“Apabila urusan memimpin (mentadbir) umat diserahkan kepada orang yang tidak mempunyai kelayakan, maka tunggulah saat kemusnahan alam (kiamat).” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 59, daripada Abu Hurairah]

Hadis ini bagi mentafsirkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡ‍ٔٗاۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ٣٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah (untuk memenangkan Islam),’ kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempat kamu? Adakah kamu merasa puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal, keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38) Jika kamu tidak berangkat untuk berperang (berjuang meninggikan Islam), nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39).” [Surah al-Tawbah: 38-39]

Malaysia adalah milik Islam Melayu yang wajib dipertahankan. Awas! Berjaga-jagalah terhadap langkah DAP untuk mengambil kuasa dengan melemahkan kedudukan Islam dan bangsa Melayu yang berjenama Islam.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Ramadan 1446 / 19 Mac 2025