KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menzahirkan rasa terima kasih atas teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat Terengganu berkaitan program Pelita Raya dan Pesta Moreh di negeri tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara.
“Pelita Raya, yang bertujuan untuk memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia, menerima aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini.
“Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat. Ini juga seiring dengan usaha kerajaan negeri yang sedang dalam proses menambah baik garis panduan kebudayaan dan hiburan.
“Bagi Pesta Moreh pula, kami menyedari peranannya dalam membantu ekonomi peniaga serta menambah pendapatan rakyat. Walau bagaimanapun, aduan mengenai lambakan lokasi moreh yang menimbulkan kegusaran sehingga ada yang merasakan Ramadan lebih dilihat sebagai pesta makanan berbanding pesta ibadah.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik pengisian di kawasan moreh,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook miliknya, sebentar tadi.
Dr. Khalil menjelaskan, antara cadangan yang sedang diteliti adalah menambah slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh agar keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual dapat dicapai.
“Ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa lokasi moreh di Terengganu. Kami komited untuk memastikan setiap program yang dianjurkan sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi rakyat tetapi juga memperkukuh nilai-nilai Islam dalam masyarakat.
“Di kesempatan ini, saya mengajak seluruh rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan yang sedang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu.
“Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna buat semua. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan seluruh masyarakat,” tambahnya.