Home Berita PAS Terengganu

Program ‘Jom Sedekah’ Ramadan diteruskan hingga 24 Mac

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Program CSR ‘JOM SEDEKAH’ anjuran GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu  akan diteruskan sehingga seminggu sebelum Hari Raya.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd, Mohamed Azahari Mohamed Noh,berkata ia susulan berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sepanjang Ramadan 2025.

“Kami amat menghargai sambutan luar biasa terhadap program ‘JOM SEDEKAH’ dan berharap lebih ramai masyarakat akan terus menyumbang sebelum program ini berakhir.

“Keprihatinan rakyat Terengganu dalam membantu mereka yang memerlukan amat menginspirasikan, dan kami komited untuk meneruskan inisiatif seperti ini pada masa hadapan,” ujarnya kepada pemberita.

Menurutnya, Program Bank Makanan Ramadan “JOM SEDEKAH”, yang dilancarkan di Giant Kuala Terengganu, Giant Jerteh, Giant Dungun, dan TMC Mesra Mall, juga masih berlangsung dan akan diteruskan sehingga seminggu sebelum Hari Raya.

“Pelanggan terus digalakkan untuk menyumbang barangan keperluan asas di Kotak Donasi yang disediakan di pasar raya Giant, dengan semua sumbangan akan diagihkan kepada golongan asnaf, keluarga kurang berkemampuan, dan jemaah masjid di seluruh negeri,”ujarnya lagi.

Tambahnya, program khas “JOM SEDEKAH – Pakaian Baharu Aidilfitri” telah berjaya membantu 100 anak yatim mendapatkan pakaian raya baharu, membawakan kegembiraan kepada mereka menjelang Syawal.

“GCH Retail turut menyumbangkan 100 kotak kurma serta air mineral kepada Kerajaan Negeri Terengganu, yang kemudiannya diedarkan ke masjid-masjid di seluruh negeri bagi menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah.

“Kita juga telah sediakan lebih 1,000 pek bubur lambuk diedarkan kepada masyarakat di beberapa lokasi terpilih di Terengganu baru-baru ini,” jelasnya.

Sementara itu,Pengerusi Kebajikan dan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri , Maliaman Kassim, berkata kerjasama erat antara GCH Retail dan Kerajaan Negeri dalam menjayakan program itu sangat bermakna.

“Bantuan yang diberikan telah membawa kegembiraan kepada ramai penerima, dan kami berharap program ini akan menjadi contoh kepada inisiatif kebajikan lain,”katanya.

Dalam pada sama, GCH Retail akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan komuniti dalam pelbagai program kebajikan lain di seluruh negara bagi menjayakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai program CSR GCH Retail dan bagaimana anda boleh turut serta, sila layari giant.com.my serta platform media sosial rasmi kami.