Oleh : Siti Nadiah Abdul Mutalib
18 Mac 2025
TAWAU: “Ahli PAS hendaklah berpegang dengan tali agama Allah, dan jangan berpecah,” kata Ahli Parlimen Padang Besar Perlis, Rushdan Rusmi.
Menurut beliau, jalinan hubungan dan kerjasama antara tokoh di dalam PAS dan masyarakat perlulah dilakukan sepanjang masa.
“Selain itu, perpaduan dan semangat kerja berpasukan akan menjadi kunci utama untuk menang.
“Seterusnya berserahlah kepada Allah taala. Kebergantungan kepadaNya itu penting selepas kita berusaha,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Tawau kali ke-37 di Sekolah Rendah Islam Al-Fateh Bandar Sri Indah, di sini, kelmarin.
Beliau turut teruja dan gembira melihat kehadiran majoriti anak muda dalam mesyuarat tersebut.
Mesyuarat tersebut telah dihadiri oleh perwakilan dan pemerhati daripada lima cawangan di dalam kawasan Tawau.
Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Tawau, Mohamad Husain menyeru agar ahli sama-sama menggembleng tenaga bagi memperkasakan jemaah.
Menurutnya, MAT adalah medan dan ruang perbincangan dua hala antara ahli dan pimpinan bagi menentukan hala tuju dan perancangan masa depan parti.
“Semua ahli perlu memperkasakan organisasi supaya gerak kerja parti selepas ini lebih teratur dan tersusun.
“Saya berharap, segala usaha dakwah, tarbiah dan kerja sosial yang dilakukan dalam gerak kerja sebelum ini mampu membuahkan hasil dengan menjadikan PAS Tawau semakin diterima dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, sebanyak dua anugerah telah disampaikan kepada ahli yang banyak memberikan sumbangan iaitu Anugerah Tokoh Istiqamah diberikan kepada Puan Zaiton Ahmad.
Manakala Anugerah Jasamu Dikenang pula diberikan kepada Allahyarham Cikgu Nasir Che Ali yang telah memberikan banyak jasa sepanjang hayatnya untuk masyarakat dan jemaah.
PAS Tawau turut menerima 10 permohonan keahlian baru semasa program tersebut diadakan.