Home Berita PAS Sabah

Singgah Sahur PAS Kinabatangan, Tanda Terima Kasih Buat Wira Bertugas

15
SHARE

Oleh: Fasiha Mohamad
17 Mac 2025

KINABATANGAN: PAS Kawasan Kinabatangan meneruskan tradisi tahunan dengan menganjurkan program Singgah Sahur bagi menghargai petugas barisan hadapan yang bertugas pada waktu malam.

Program ini melibatkan penyampaian pek makanan sahur kepada kakitangan Hospital Kota Kinabatangan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat, anggota Balai Polis Kinabatangan serta pengawal keselamatan di sekolah rendah dan menengah sekitar kawasan ini.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Kinabatangan, Jumaidin Lakalla, berkata program ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang berkhidmat tanpa mengira waktu demi kesejahteraan masyarakat.

“Singgah sahur ini bertujuan untuk menyantuni petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas sepanjang malam. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada mereka,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 70 orang menerima pek makanan dalam program kali ini.

Program Singgah Sahur ini telah menjadi acara tahunan bagi PAS Kawasan Kinabatangan dan mendapat sambutan positif daripada masyarakat setempat.