Home Berita PAS Terengganu

Ramadan bukan sekadar untuk kurus, tapi peluang perbaiki diri

9
SHARE

DUNGUN – Bulan Ramadan datang bukan sekadar untuk menurunkan berat badan (menjamin kesihatan) tetapi peluang umat Islam memperbaiki diri dan meningkatkan amalan kebaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, orang kita apabila sebut sahaja Ramadan, lebih banyak nampak keinginan mahu kurus.

“Sedangkan kesihatan itu hanyalah sampingan sahaja. Ada juga orang berpuasa tapi dok turun-turun berat, bahkan makin naik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Tazkirah Tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh Muslimat Paka bersama jemaah wanita setempat, semalam.

Beliau mengingatkan bahawa Ramadan bukan hanya tentang menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadah.

“Bulan biasa (selain Ramadan) mungkin kita mengaji semuka sehari, tetapi apabila masuk Ramadan kita boleh baca sampai satu juz sehari,” ujarnya, menyeru umat Islam agar mengambil peluang keemasan ini untuk meningkatkan amalan.

Tambahnya, Ramadan adalah masa untuk muhasabah diri, memperbaiki kelemahan, membersihkan hati, dan memperbanyakkan amal kebaikan.

“Amat rugi dan malanglah kita, Ramadan datang tetapi sama sahaja seperti mana di bulan-bulan yang lain tanpa terasa dalam hati untuk memanfaatkan bulan Ramadan,” jelasnya lagi.