Home Berita PAS Terengganu

“Gembira pilih baju, dapat duit raya!” – 130 Asnaf dirai

13
SHARE

Oleh : Mohamad Farhan Anam

KUALA TERENGGANU – “Seronok sangat! Dapat pilih baju raya sendiri,” kata seorang penerima yang tersenyum lebar ketika sibuk memilih pakaian di Mydin Mall dalam program Iftar Sentuhan Kasih Ramadan 1446H.

Seramai 130 penerima diraikan dalam program ini yang dianjurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, bersama penyumbang utama seperti EPIC Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Iman Care dan Mandalika.

Setiap penerima menerima RM150 untuk membeli pakaian raya, selain duit raya RM100.

Menurut Zuraida, program bermula dengan sesi membeli pakaian, di mana kanak-kanak dan keluarga asnaf dibawa menaiki bas khas dari Masjid Raja ke pusat membeli-belah.

“Seronok tengok adik-adik kita tersenyum sambil mencuba baju baru,” ujar Zuraida yang turut serta dalam sesi tersebut semalam.

Jelas beliau, selepas itu, mereka dibawa ke sebuah hotel bagi menunaikan solat Asar berjemaah sebelum menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh kesyukuran.

“Majlis ini bukan sekadar berkongsi rezeki, tetapi juga mengeratkan silaturahim dan menyuburkan kasih sayang dalam bulan yang mulia ini,” tambah beliau.

Dengan wajah yang berseri-seri, penerima pulang membawa bukan sahaja pakaian dan sumbangan, tetapi juga kenangan manis yang akan dikenang hingga ke Syawal.