Home Berita PAS Terengganu

Kompleks Sukan Negeri Terengganu Kini Miliki Gelanggang Bola Sepak Pantai

7
SHARE

KUALA NERUS  – Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang bola sepak pantai di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, usaha berkenaan bertujuan merancakkan sukan bola sepak pantai di negeri Terengganu secara lebih selamat dan memenuhi standard yang ditetapkan pihak berautoriti.

Menurutnya, gelanggang bola sepak pantai yang baharu ini dijangka siap pada minggu ini dan bakal digunakan sebagai tempat latihan pasukan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.

“Kebetulan pihak kejurulatihan Bola Sepak Pantai Kebangsaan turut bersama dan telah menyatakan hasrat untuk memulakan sesi latihan di sini.

“Insya-Allah pemasangan lampu limpah sementara akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat buat kegunaan latihan pasukan Bola Sepak Pantai Kebangsaan.

“Sementara itu, komponen-komponen lain akan dibangunkan secara berstruktur dan berperingkat bagi kemudahan pengguna di sini, Insya-Allah.

“Semoga dengan usaha ini, Negeri Terengganu akan melahirkan pemain bola sepak pantai yang lebih berkualiti dan membantu nama Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.