KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menerima satu tan kurma dan 20 karton air mineral yang disumbangkan oleh pasar raya besar Giant untuk dibahagikan kepada umat Islam di negeri ini sempena Ramadan.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Hal Ehwal Korporat Dan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd, Azahari Mohamed Noh kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Maliaman Kassim dalam satu majlis ringkas yang diadakan di pasar raya berkenaan, hari ini.
Maliaman berkata, kerajaan negeri menghargai dan berterima kasih kepada pasar raya terkemuka itu atas inisiatif yang dilakukan.
Katanya, kurma dan air mineral itu akan diagihkan ke beberapa masjid dan surau di negeri ini bagi dijadikan juadah sampingan sewaktu berbuka puasa kepada jemaah.
Sementara itu, Azahari berkata, sumbangan kurma dan air mineral merupakan antara aktiviti kebajikan yang dirancang pihaknya sepanjang bulan Ramadan ini dan Terengganu merupakan negeri pertama yang menerima sumbangan itu.
“la bertepatan dengan kedatangan Ramadan yang mulia dan sumbangan ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami yang diharap dapat memberi impak positif kepada komuniti,” ujarnya.