Home Berita PAS Terengganu

TATI UC Raih Status ‘Reporter’ dalam Ranking Universiti Dunia

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Kolej Universiti TATI (TATI UC) mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih status ‘Reporter’ dalam ranking Universiti Dunia 2025 oleh Times Higher Education (THE).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TATI UC atas pencapaian tersebut.

Beliau menekankan bahawa kejayaan itu adalah hasil usaha gigih semua pihak institusi berkenaan dalam memastikan ia terus berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Tahniah diucapkan kepada Kolej Universiti TATI atas pencapaian yang cemerlang dalam mencapai status ‘Reporter’ dalam ranking Universiti Dunia 2025 Times Higher Education (THE).

“Pencapaian ini merupakan bukti kesungguhan dan dedikasi pasukan Kolej Universiti TATI dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan.

“Melalui usaha gigih semua pihak, terutama para akademik dan pengurusan, kejayaan ini sudah pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai institusi pendidikan yang berwibawa serta mampu bersaing di peringkat global.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasminya, sebentar tadi.

Dr. Ahmad Samsuri turut menyatakan harapan beliau agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada penghasilan graduan yang berdaya saing serta mampu memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negeri dan negara.

Pengiktirafan ini menjadi bukti kesungguhan dan dedikasi institusi itu dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan.

“Melalui status ini, semoga Kolej Universiti TATI terus memperluas jaringan antarabangsa, mengukuhkan kerjasama dengan institusi pendidikan global, serta memacu penyelidikan yang lebih inovatif,” ujar beliau dalam hantaran tersebut.

Pencapaian ini menandakan langkah positif bagi TATIUC dalam mengorak langkah ke arah menjadi sebuah institusi pendidikan yang lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, diharapkan TATIUC akan terus mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

Sebagai makluman, status ‘Reporter’ diberikan kepada institusi yang mengambil bahagian dalam penilaian THE tetapi tidak memenuhi kriteria untuk disenaraikan dalam ranking utama.

Walaupun begitu, status ini menunjukkan keterlibatan TATIUC dalam penilaian global serta komitmen terhadap peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan.