Home Berita PAS Terengganu

Senator DAP desak Persekutuan Salur Royalti terus kepada Kerajaan Terengganu

93
SHARE

KUALA LUMPUR – Senator DAP, Dato’ Kesavadas A. Achyuthan Nair, menegaskan bahawa pembayaran baki royalti minyak kepada kerajaan negeri Terengganu perlu dilakukan secara langsung demi memastikan kebajikan rakyat negeri itu terjamin serta memperkukuh pembangunan ekonomi negara.

Dalam sesi perbahasan di Dewan Negara, beliau mengakui kepentingan Akta Kemajuan Petroleum 1974 serta perjanjian yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas sejak 1978.

Menurutnya, rakyat Terengganu berhak menerima manfaat penuh daripada hasil minyak dan gas yang diperoleh dari perairan negeri tersebut.

“Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak negeri ini sejak 1978.

“Saya juga percaya dengan pembayaran baki royalti itu, kerajaan negeri dapat menambah hasil negeri yang seterusnya membantu menjaga kebajikan rakyat selain memberikan impak positif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa wang hasil petroleum tersebut tidak disalurkan terus kepada kerajaan negeri, sebaliknya diberikan kepada pihak ketiga.

Baginya, ketelusan dalam pembayaran royalti adalah penting agar hak negeri tidak dinafikan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara Terengganu, Senator Hussin Ismail menyatakan bahawa isu royalti itu bukan sekadar hak rakyat Terengganu, tetapi telah termaktub dalam perjanjian sah yang dimeterai antara kerajaan negeri dan Petronas.

“Perjanjian itu turut disaksikan oleh Menteri Kewangan ketika itu,” tegasnya.

Menjawab perkara tersebut, Kesavadas mengesahkan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian berkaitan memang termaktub dalam dokumen rasmi dan beliau tidak menafikan fakta tersebut.

Namun, beliau tetap menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam memastikan ekonomi negara berkembang dengan baik.

“Saya beranggapan sekiranya tiada kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan, maka amat susah, sukar untuk membangunkan ekonomi negara,” tambahnya.