Home Berita PAS Terengganu

Thailand, Bangladesh, Myanmar, Nepal sahkan sertai Pelita Raya Terengganu

17
SHARE

KUALA TERENGGANU – Pelita Raya Terengganu 2025 bakal mencipta sejarah baru dengan penyertaan negara luar antaranya Thailand, Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, empat buah negeri itu telah mengesahkan kehadiran bagi menyertai program Pelita Raya Terengganu.

Kata Razali, dengan tema ‘Membudayakan Khazanah Warisan Kita’ program itu bakal diadakan pada 13 hingga 16 Mac di Perkarangan Tasik Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak bermula jam 8.45 malam hingga 11.30 malam.

“Kita cuba mengangkat program ini ke peringkat antarabangsa dengan menjemput banyak negara untuk menyertai termasuk Singapura, Brunei, Pakistan namun yang mengesahkan untuk hadir ialah empat negara terbabit.

“Namun, kita masih menunggu beberapa negara lagi yang akan sertai, kita sedang menunggu senarai daripada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat.

“Penyertaan dari luar negara pada peringkat awal mereka tidak akan bertanding, tetapi untuk menunjukkan kepada kita bahawa mereka juga ada pelita tradisi dengan cara serta budaya yang tersendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Sidang Media Program Peliter Raya @ KSNT, di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman (WDI), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar & Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.

Mengulas lebih lanjut Razali berkata, program itu juga akan turut disertai oleh negeri Kelantan dan Perlis melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK).

“Mereka bertanding dalam kategori Agensi dan Badan Kerajaan yang akan disertai oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu, MOTAC/Tourism Malaysia.

“Jua termasuk KETENGAH, Terengganu Inc, Pusat Sains Kreativiti Ternegganu (PSKT), Syarikat Air Terengganu (SATU), Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Lapan daerah di negeri Terengganu ini pula akan menyertai kategori Pejabat Daerah,”ujarnya.

Dalam masa yang sama menurut Razali, bagi memastikan acara berprestij itu lebih meriah, satu rakan strategik telah dibentuk dengan turut menjemput seluruh negeri menyertainya.

“Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pahang, Johor , Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya akan menyertai Pelita Raya ini,” ujarnya.

Sementara itu, katanya kerajaan negeri menjemput khas Persatuan Cina Peranakan Terengganu, Persatuan India dan orang Asli untuk turut sama memeriahkan.

“Apabila kita jemput, mereka sangat gembira untuk menyertai tambahan pula tradisi pelita raya ini telah dikenali dan telah sebati dalam diri mereka kerana tradisi ini telah diadakan turun temurun dan diamalkan oleh masyarakat Islam di negeri ini,” katanya.