Terengganu sekali lagi membuktikan kepimpinannya sebagai negeri yang benar-benar cakna terhadap kesihatan generasi muda dengan langkah berani mengharamkan penjualan vape secara total.
Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu menyokong sepenuhnya keputusan tegas ini, yang bukan sahaja berpaksikan prinsip kesihatan awam tetapi juga selari dengan nilai Islam yang menolak segala bentuk kemudaratan.
Kajian telah menunjukkan bahawa vape bukan sekadar isu ketagihan nikotin, malah menjadi pintu masuk kepada penyalahgunaan bahan terlarang lain, termasuk dadah berbahaya seperti ganja dan psikedelik . Data terkini juga membuktikan bahawa penggunaan vape dalam kalangan remaja meningkat secara mendadak, menjadikan ia satu ancaman besar kepada kesihatan mental dan fizikal anak muda kita.
Keputusan Kerajaan Negeri Terengganu ini merupakan langkah progresif yang harus dipuji, mengatasi pendekatan kerajaan pusat yang hanya memilih untuk mengawal selia vape tanpa mengharamkannya sepenuhnya. Terengganu tidak tunduk kepada tekanan industri atau kepentingan cukai, sebaliknya meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan.
Tindakan ini juga bertepatan dengan fatwa negeri yang mengharamkan vape, menjadikan Terengganu negeri yang benar-benar mengamalkan prinsip syariah dalam pentadbiran. Kami menyeru negeri-negeri lain untuk menjadikan Terengganu sebagai contoh dalam melindungi generasi akan datang daripada ancaman ketagihan dan masalah kesihatan akibat vape.
Lajnah Kesihatan Pemuda PAS Terengganu menegaskan sokongan penuh terhadap langkah ini dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya vape serta membantu mereka yang ingin berhenti dari ketagihan nikotin.
Dengan kesungguhan dan kepimpinan berani seperti ini, Terengganu terus membuktikan dirinya sebagai JUARA dalam membela kesihatan dan kesejahteraan generasi muda!
𝗬𝗕 𝗗𝗿. 𝗧𝗲𝗻𝗴𝗸𝘂 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗸𝗵𝗿𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻
𝘒𝘦𝘵𝘶𝘢 𝘓𝘢𝘫𝘯𝘢𝘩 𝘒𝘦𝘴𝘪𝘩𝘢𝘵𝘢𝘯 𝘋𝘗𝘗𝘕𝘛 / 𝘈𝘋𝘜𝘕 𝘚𝘶𝘳𝘢