Home Berita PAS Terengganu

ADUN agih 300 Pek Kurma di Bazar Ramadan Kijal

21
SHARE

KEMAMAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris mengagihkan 300 pek kurma kepada peniaga dan pengunjung di Bazar Ramadan Kijal, semalam.

Beliau memaklumkan, program edaran kurma itu merupakan inisiatif tahunan bagi meraikan kehadiran bulan Ramadan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Tambahnya, pengagihan kurma ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan kepada para peniaga yang bertungkus-lumus mencari rezeki sepanjang Ramadan, tetapi juga sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan penduduk Kijal.

“Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, dan kita mahu berkongsi rezeki serta kebahagiaan dengan semua. Semoga amalan ini membawa keberkatan kepada kita semua,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.

Program tersebut mendapat sambutan hangat daripada peniaga dan pengunjung yang menghargai keprihatinan wakil rakyat mereka.

Seorang pengunjung bazaar, Iskandar Alias, 25, yang juga pelajar Kolej Universiti TATI, meluahkan rasa teruja dengan kehadiran ADUN Kijal ke tapak bazar tersebut.

“Terima kasih kepada Tok Li atas sumbangan pek kurma ini. Saya berharap program seperti ini dapat diadakan di setiap bazar agar lebih ramai yang memperoleh manfaat.

“Semoga bulan Ramadan tahun ini membawa kita ke arah yang lebih baik dengan memperbanyakkan ibadah kepada Allah SWT,” ujarnya.