KUALA TERENGGANU – Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad sekali lagi mencatat rekod baharu dengan pendapatan tertinggi sepanjang masa sebanyak RM645 juta bagi tahun kewangan 2024.
TDM dalam satu kenyataan berkata, pendapatan itu meningkat 9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelas kenyataan itu lagi, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan juga meningkat kepada RM29.5 juta bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024.
“Melonjak 23 peratus berbanding RM24.0 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Sepanjang tahun kewangan 2024, pendapatan Kumpulan meningkat sebanyak RM51.1 juta atau 9 peratus, didorong oleh pertumbuhan hasil daripada Bahagian Perladangan sebanyak RM29.6 juta (+11 peratus) dan Bahagian Penjagaan Kesihatan sebanyak RM21.5 juta (+6 peratus),” ujar TDM.
Tambah TDM lagi, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam PBT tahunan kepada RM11.3 juta berbanding RM14.8 juta tahun sebelumnya, EBITDA masih mencatat jumlah kukuh sebanyak RM110.1 juta.
“Prestasi Bahagian Perladangan mencatat EBITDA sebanyak RM37.1 juta (+3 peratus) berbanding RM33.9 juta tahun sebelumnya, dengan PBT sebanyak RM19.7 juta bagi suku ini.
“Prestasi Bahagian Penjagaan Kesihatan Bahagian Penjagaan Kesihatan juga mencatat prestasi kukuh dengan peningkatan hasil sebanyak 3 peratus, daripada RM93.8 juta kepada RM96.9 juta sepanjang suku ini.
“Bagi tahun kewangan penuh, pendapatan meningkat 6 peratus kepada RM354.3 juta berbanding RM332.8 juta tahun sebelumnya. EBITDA meningkat kepada RM53.9 juta, manakala PBT turut meningkat kepada RM31.8 juta berbanding RM31.0 juta tahun sebelumnya,” kata TDM.