Home Berita PAS Terengganu

‘King of Subuh Warrior’ Kijal dapat hadiah basikal

86
SHARE

KEMAMAN – Program ‘King Of Subuh Warrior’ atau galakan solat Subuh berjemaah yang dianjurkan oleh Masjid Titian Berayun, Kijal berjaya menarik penyertaan ramai kanak-kanak, dengan beberapa peserta berjaya menamatkan cabaran solat berjemaah selama 40, 30, 20, dan 10 hari berturut-turut.

Dalam majlis penghargaan yang diadakan semalam, tiga peserta utama yang berjaya menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari tanpa gagal telah menerima penghargaan khas.

Mereka ialah Muhammad Aiman Khaiyiza bin Mohammad Khairul Azan (13), Muhammad Ukail Uwais bin Mohd Khairuddin (13), dan Muhammad Zakir Hadi bin Mohd (9).

Menurut Muhammad Zakir Hadi, 9 berkata dia sudah biasa ke masjid sejak kecil dan seronok meneruskan rutin itu sepanjang program berlangsung.

“Saya memang suka ke masjid ikut ayah, walaupun keluarga ada urusan di Kuala Lumpur, saya tetap tinggal di Kemaman dengan ahli keluarga lain supaya boleh terus solat Subuh berjemaah.

“Terima kasih kepada pengurusan masjid yang menganjurkan program dan juga kepada ibubapa saya yang setiap hari hantar saya ke masjid untuk solat berjemaah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup ‘King Of Subuh Warrior’ di Masjid Titian Berayun, Kijal semalam.

Selain kategori 40 hari, peserta yang berjaya mengekalkan solat Subuh berjemaah selama 30, 20, dan 10 hari turut menerima penghargaan sebagai dorongan untuk terus beristiqamah.

Pengarah Program ‘King Of Subuh Warrior’, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata program tersebut menerima sambutan luar biasa sekali gus membuktikan bahawa kanak-kanak boleh dilatih untuk mencintai ibadah sejak kecil.

“Alhamdulillah, program ini juga mendapat sokongan padu daripada ibu bapa dan masyarakat. Kita berharap ia dapat diteruskan setiap tahun untuk membentuk generasi yang mencintai solat berjemaah.

“Sebagai ganjaran atas komitmen mereka, setiap peserta yang berjaya menamatkan cabaran 40 hari menerima sijil penghargaan, sebuah basikal, hamper, piala, dan voucher penginapan sebagai tanda penghormatan atas usaha mereka dan hadiah-hadiah lumayan juga untuk kategori lain,” ujarnya..