Home Berita PAS Terengganu

Terengganu rancang bina gelanggang futsal di Kompleks Sukan Negeri

28
SHARE

KUANTAN – Kerajaan Terengganu sedang meneliti untuk membina sebuah gelanggang futsal baharu di Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam usaha memperkasa pembangunan sukan futsal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berkait rancangan itu pihaknya mengambil kesempatan membuat lawatan ke gelanggang futsal Sergio Aguero Arena di Semambu, Kuantan.

“Kesempatan ini bagi meneliti model arena ini untuk memulakan langkah pembinaan sebuah gelanggang futsal di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

“Terima kasih Mr Sergio Aguero dan Mr Lucas Casco atas sambutan mesra sebentar tadi,” katanya.

Menurut Hishamuddin, sukan futsal di Terengganu kurang rancak ekoran kekurangan gelanggang dan kekurangan pertandingan di pelbagai peringkat.

“Tentunya, ia memberikan kesan kepada pembangunan sukan futsal di peringkat akar umbi. Pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandang serius perkara ini,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan kerjasama pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu, beliau berhasrat untuk menggerakkan usaha pembinaan sebuah gelanggang futsal untuk ditempatkan di dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Terengganu dalam tempoh terdekat.

“Beberapa model gelanggang futsal dalam negara ini akan ditinjau dan diteliti terlebih dahulu sebelum memulakan langkah pembinaan.”

“Keazaman ini cukup tinggi untuk melihat agenda pembangunan sukan futsal di kalangan anak-anak muda Terengganu akan terus berkembang maju dan memperkukuhkan penglibatan pasukan Terengganu di peringkat kebangsaan,”

Doakan usaha kami dipermudahkan.