Home Minda Presiden

PEMBOHONG MENJADI PEMIMPIN, ALAMAT AKHIR ZAMAN YANG MEROSAKKAN DUNIA

103
SHARE

Minda Presiden PAS
PEMBOHONG MENJADI PEMIMPIN, ALAMAT AKHIR ZAMAN YANG MEROSAKKAN DUNIA
Inilah amaran Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ ٦

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang sebenar, menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu!” [Surah al-Hujurat: 6]

Sebab penurunan ayat ini ialah apabila Rasulullah SAW menghantar satu bala tentera untuk menyerang suatu kaum yang dikatakan tidak mahu membayar zakat berdasarkan berita bohong yang disampaikan, namun Allah menyelamatkannya dengan menurunkan wahyu.

Al-Quran ialah petunjuk sepanjang zaman kepada semua manusia yang beriman dan bertaqwa.

Pembohongan paling besar akibatnya kepada umat, apabila mereka memilih pemimpin dalam kalangan pembohong yang fasiq tersembunyi dan tiada kelayakan yang sebenar-benarnya, sehingga membawa akibat yang merosakkan negara dan rakyatnya.

Berlaku lebih dahsyat ialah dimurkai Allah apabila mengkhianati amanah yang paling besar agar mentadbir dunia dengan petunjuk Allah serta menyerahkan amanah kepada orang yang layak dari sudut iman, akal, ilmu, dan akhlaknya, di samping beriman dan budiman. Firman Allah SWT:

۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya (mempunyai kelayakan), dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Maka, satu kesalahan yang besar apabila memilih pemimpin kerana sogokan harta dan janji pangkat, bukan kerana kelayakannya. Lebih parah lagi kalau ditipu dengan pembohongannya.

Contoh terburuk ialah kaum Bani Isra’il yang menjadikan pangkat dan harta sebagai tujuan utama pelantikan pemimpin tanpa mengira sesiapa, bukan untuk menunaikan amanah. Maka, akibat berbohong dan menipu itu menular, diikuti pula perkara-perkara yang merosakkan urusan pentadbiran dunia dan merebakkan kezaliman.

Daripada kalangan Bani Isra’il atau Yahudi itu juga, lahirnya pencipta ideologi kebendaan dan ajaran sesat yang merosakkan aqidah, akhlak, politik, dan ekonomi, di samping merosakkan keamanan dunia dan memusnahkan alam sekitar. Semuanya diberikan taraf ahli falsafah dan pemikir yang diagungkan seperti Karl Marx, Adam Smith, Charles Darwin, dan lain-lain.

Khususnya, berlaku pada zaman kini, semua negara kuasa besar diganggu proses demokrasi dan pentadbirannya melalui penipuan kepada rakyat dengan berbohong, berjanji tanpa ditunaikan, rasuah, dan godaan hawa nafsu yang meruntuhkan sifat kemanusiaan yang mulia, sehingga jatuh bersama sifat kebinatangan yang lebih merosakkan kerana akalnya yang disalahgunakan.

Bahkan, menghilangkan sifat kemanusiaan yang mulia kurniaan Allah yang wajib disyukuri mereka, sebagaimana firman Allah SWT:

۞ وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا ٧٠

“Dan sesungguhnya, telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” [Surah al-Isra’: 70]

Islam menetapkan makanan rohani, jasad, dan akal, nafsu yang terkawal mengikut sempadan kemanusiaan, pakaian yang bersopan, makanan dan minuman yang halal, ilmu yang bermanfaat, dan lain-lain.

Namun, ada yang melupakan janji Allah SWT apabila seseorang hamba-Nya bersyukur bersama Islam:
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَئِن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡۖ وَلَئِن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٞ ٧

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, maka pasti Kami akan menambah (ni‘mat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (ni‘mat-Ku), maka sesungguhnya, azab-Ku sangat pedih.’” [Surah Ibrahim: 7]

Rasulullah SAW memberikan amaran dan peringatan dalam aspek kepimpinan umat Islam yang wajib menjadi contoh kepada seluruh manusia, kerana kewajipan amanah yang besar ialah menegakkan keadilan Islam kepada seluruh alam:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ، جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ: مَتَى السَّاعَةُ؟ فَمَضَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ، فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ: سَمِعَ مَا قَالَ، فَكَرِهَ مَا قَالَ. وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ لَمْ يَسْمَعْ.

Daripada Abu Hurairah RA, beliau menceritakan: Ketika Rasulullah SAW sedang berbual dengan para sahabatnya dalam satu majlis, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi (yang tinggal di pedalaman padang pasir), lalu terus bertanya Rasulullah SAW, “Bilakah berlakunya saat Kiamat (kemusnahan dunia)?” Rasulullah SAW tidak menjawab dan meneruskan perbualannya. Ada kalangan yang merasakan bahawa Rasulullah SAW mendengar ucapannya, namun tidak senang dengan cara dia bertanya dan masanya. Ada pula yang merasakan bahawa Rasulullah SAW tidak mendengar dengan jelas soalannya.

حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ: أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنِ السَّاعَةِ؟ قَالَ: هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ: فَإِذَا ‌ضُيِّعَتِ ‌الْأَمَانَةُ ‌فَانْتَظِرِ ‌السَّاعَةَ. قَالَ: كَيْفَ إِضَاعَتُهَا؟ قَالَ: إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ.”

Setelah selesai pembicaraannya, tiba-tiba Rasulullah SAW bertanya, “Di mana orang yang bertanya berkenaan Kiamat?” Lelaki Badwi tadi pun menjawab, “Di sini, sayalah, wahai Rasulullah!” Rasulullah SAW bersabda, “Apabila amanah dihilangkan, maka tunggulah Kiamat.” Dia bertanya lagi, “Bagaimana cara hilangnya?” Rasulullah SAW menjawab, “Apabila urusan memimpin umat diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah Kiamat.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, No. 59, daripada Abu Hurairah]

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis lain yang mentafsirkan:

عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَبْعَثَ اللَّهُ ‌أُمَرَاءَ ‌كَذَبَةً، وَوُزَرَاءَ فَجَرَةً، وَأُمَنَاءَ خَوَنَةً…”

Daripada Mu‘az bin Jabal RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda, “Tidak berlaku Kiamat (kemusnahan dunia seluruhnya) sehingga Allah membiarkan munculnya para pemimpin yang bohong (dipilih oleh manusia), para menteri yang jahat, dan para pembantu yang khianat…” [Riwayat al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, Musnad Mu‘az bin Jabal, No. 2630]

Di sini menunjukkan kemusnahan dunia dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri sepertimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يُعۡجِبُكَ قَوۡلُهُۥ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَيُشۡهِدُ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلۡبِهِۦ وَهُوَ أَلَدُّ ٱلۡخِصَامِ ٢٠٤ وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي ٱلۡأَرۡضِ لِيُفۡسِدَ فِيهَا وَيُهۡلِكَ ٱلۡحَرۡثَ وَٱلنَّسۡلَۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَسَادَ ٢٠٥ وَإِذَا قِيلَ لَهُ ٱتَّقِ ٱللَّهَ أَخَذَتۡهُ ٱلۡعِزَّةُ بِٱلۡإِثۡمِۚ فَحَسۡبُهُۥ جَهَنَّمُۖ وَلَبِئۡسَ ٱلۡمِهَادُ ٢٠٦

“Dan antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal dialah penentang yang paling keras. (204) Dan apabila dia berpaling (daripada kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya serta merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternak, dan Allah tidak menyukai kebinasaan. (205) Dan apabila dikatakan kepadanya, ‘Bertaqwalah kepada Allah,’ bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka, cukuplah (balasannya) Neraka Jahannam. Dan sungguh, Neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya. (206)” [Surah al-Baqarah: 204–206]

Ayat tersebut menunjukkan lahirnya mereka yang bijak bercakap, tetapi menipu orang ramai demi kepentingan diri dan puaknya sahaja. Sehinggakan, pembohongannya dianggap benar dan menutup segala kebenaran dengan media yang menjadi saksi yang fasiq.

Ramai yang menjadi mangsa kezaliman kerana menyeret orang yang tidak bersalah dengan tuduhan yang dicipta, disebabkan menjadi ancaman kepada kedudukan pemimpin yang bohong.

Rasulullah SAW memberikan amaran akan munculnya pada akhir zaman penyebar-penyebar berita bohong ke seluruh pelosok dunia yang bertugas semenjak pagi sehingga sepanjang hari menjadi pembantu kepada pemimpin yang bohong.

Sabda Rasulullah SAW yang menceritakan pemberitahuan malaikat kepadanya dalam satu mimpi yang benar:

وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِي أَتَيْتَ عَلَيْهِ، ‌يُشَرْشَرُ ‌شِدْقُهُ ‌إِلَى ‌قَفَاهُ، وَمَنْخِرُهُ إِلَى قَفَاهُ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ، فَإِنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ، فَيَكْذِبُ الكَذْبَةَ تَبْلُغُ الْآفَاقَ.

“Adapun orang yang diseksa di dalam Neraka, disangkut pipinya dengan penyangkut besi sehingga menembusi tengkuknya, disangkut lehernya sehingga menembusi tengkuknya, dan disangkut matanya sehingga menembusi tengkuknya. Sesungguhnya, dia ialah orang yang kerja sejak awal pagi menyebarkan berita bohong.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ta‘bir, No. 7047, daripada Samurah bin Jundub]

Rasulullah SAW diberikan ilmu oleh Allah mendahului zaman teknologi maklumat langit terbuka tanpa sempadan.

Rasulullah SAW memberikan amaran keras terhadap sifat bohong sehingga meletakkannya dalam senarai tanda-tanda munafiq. Sabdanya:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْهُنَّ، كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ، وَإِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، ‌وَإِذَا ‌خَاصَمَ ‌فَجَرَ.

“Empat sifat; sesiapa yang ada pada dirinya, nescaya dia menjadi munafiq, dan sesiapa yang ada satu daripadanya, maka satu sifat munafiq ada pada dirinya, sehinggalah dia meninggalkannya: (1) Apabila dia diberikan amanah, dia khianat. (2) Apabila dia bercakap, dia bohong. (3) Apabila dia berjanji, dia mungkir. (4) Apabila dia berdebat, dia jahat (bukan kerana menegakkan kebenaran).” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iman, No. 34, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iman, No. 58, daripada ‘Abdullah bin ‘Amru]

Sabda Rasulullah SAW lagi:

‌إِنَّ ‌الصِّدْقَ ‌يَهْدِي ‌إِلَى ‌الْبِرِّ، وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا، وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا.

“Sesungguhnya, sifat benar itu membawa kepada kebajikan dan kebajikan pula membawa ke Syurga, Apabila seseorang itu bersifat benar, nescaya dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pembenar. Sesungguhnya, sifat bohong itu membawa kepada kejahatan dan kejahatan pula membawa ke Neraka. Apabila seseorang itu bersifat bohong, nescaya dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pembohong.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, No. 6094, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, No. 2607, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]

Firman Allah SWT:
ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]

Kemusnahan berlaku disebabkan oleh kejahatan manusia sendiri, bukan sekadar fenomena alam yang merupakan suatu peristiwa yang nyata, sesuatu fakta pewujudan atau perubahan yang dapat dilihat dan merupakan sesuatu yang istimewa — misalnya hujan, ribut taufan, gempa bumi, dan sebagainya.
Imam al-Bukhari menceritakan; bahawa seorang wanita bertanya Khalifah Abu Bakar RA:
مَا بَقَاؤُنَا عَلَى هَذَا الْأَمْرِ الصَّالِحِ الَّذِي جَاءَ اللهُ بِهِ بَعْدَ الْجَاهِلِيَّةِ؟
“Sampai bila kita berada dalam keadaan baik yang dibawa Allah ini setelah berlalunya zaman jahiliah?”
قَالَ: بَقَاؤُكُمْ عَلَيْهِ ‌مَا ‌اسْتَقَامَتْ ‌بِكُمْ ‌أَئِمَّتُكُمْ.
Abu Bakar pun menjawab, “Kamu berkekalan dalam keadaan baik selagi bersama pemimpin yang beristiqamah benarnya (kerana rakyat juga terpengaruh dengan perangai pemimpin).” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, No. 3834]
Para ulama’ menyebut:
‌النَّاسُ ‌عَلَى ‌دِينِ ‌مُلُوكِهِمْ.
“Rakyat terpengaruh dengan pegangan dan amalan agama para pemimpin mereka.”
Maka, Allah meninggikan martabat mereka yang paling bersyukur, iaitu kalangan para anbiya’ sehingga mengatasi malaikat yang mulia, sebaliknya merendahkan mereka yang kufur sehingga menjadi lebih hina daripada binatang.
Allah mewajibkan sifat benar ditetapkan kepada para nabi dan rasul, sehingga mereka dikawal Allah menjadi mustahil bersifat bohong, kerana mereka ialah teladan kepada seluruh manusia bagi melaksanakan amanah petunjuk Allah yang wajib disampaikan kepada seluruh manusia. Semua sifat akhlak mulia yang ada pada diri mereka juga disaksikan sejak kelahiran di tengah-tengah kaum dan bangsa masing-masing.
Semua tuduhan terhadap para anbiya’ dan rasul adalah fitnah daripada musuh yang zalim. Betapa zalimnya musuh rasul itu turut disaksikan oleh kaum mereka juga, sehingga kerajaan yang zalim dijatuhkan pada akhirnya walaupun berkuasa. Firman Allah SWT:
قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِكُمۡ سُنَنٞ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ ١٣٧ هَٰذَا بَيَانٞ لِّلنَّاسِ وَهُدٗى وَمَوۡعِظَةٞ لِّلۡمُتَّقِينَ ١٣٨
“Sesungguhnya, telah berlalu sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah. Oleh sebab itu, berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul). (137) (Al-Quran) ini ialah penerangan bagi seluruh manusia dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertaqwa. (138)” [Surah Ali ‘Imran: 137–138]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Sya‘ban 1446 / 27 Februari 2025