KUALA TERENGGANU – Walaupun berdepan cabaran ekonomi, kerajaan Terengganu tidak sesekali berkompromi dalam soal pendidikan, sebanyak RM5 juta diperuntukkan setiap tahun bagi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) di bawah Yayasan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, biasiswa itu adalah antara manifesto utama kerajaan negeri sejak 2018 dan kekal diteruskan hingga kini.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang.
“Ia mungkin tidak membuahkan hasil dalam bentuk wang ringgit, tetapi manfaatnya kepada masyarakat jauh lebih besar,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan; Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Menurut beliau, setiap tahun hanya 50 pelajar terbaik dipilih untuk menerima biasiswa ini, menunjukkan betapa tingginya persaingan untuk mendapatkan tajaan pendidikan ini.
“Selain biasiswa, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan tanpa faedah sebanyak RM10 juta setahun bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang menyambung pengajian.
“Kita melihat semakin ramai pelajar Terengganu cemerlang dalam SPM, STPM, STAM dan sebagainya. Ini bermakna lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.