KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh semalam membangkitkan isu pelantikan dan komposisi anggota lembaga dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Bernama (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.
Beliau menegaskan bahawa terdapat ketidakseimbangan dalam perwakilan, khususnya melibatkan wakil kerajaan dan ketiadaan wakil daripada pihak pembangkang.
Menurutnya, berdasarkan pelantikan pada tahun 2023, hanya empat wakil kerajaan yang dilantik, bukan enam seperti yang sepatutnya sehingga tiada seorang pun wakil dari pihak Perikatan Nasional (PN).
“RUU ini digubal atas dasar kepentingan nasional, tetapi anehnya tiada wakil daripada pihak pembangkang. Ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan keseimbangan dalam proses pelantikan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu, beliau turut mempersoalkan peranan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam pelantikan anggota lembaga, memandangkan beberapa fungsi kementerian telah dipindahkan Namun dilihat pelantikan masih dikawal oleh kementerian tersebut.
Beliau juga mencadangkan supaya pelantikan anggota lembaga yang mewakili organisasi media ditambah baik dengan menetapkan bahawa jawatan mereka terlucut secara automatik sekiranya mereka tidak lagi mempunyai hubungan dengan organisasi yang diwakili.
“Jika tidak ditetapkan secara automatik, ia boleh menimbulkan konflik dan kesukaran, seperti yang pernah berlaku dalam parti politik tertentu,” ujarnya.
Dalam perbahasannya itu, Zulkifly turut membangkitkan isu pelantikan seorang hakim sebagai Yang Dipertua dalam sebuah majlis penyeliaan dan meminta kerajaan memberikan justifikasi terhadap pelantikan tersebut dan bagaimana ia selaras dengan prinsip ketelusan.
“Apakah asas pertimbangan dalam pelantikan ini? Adakah ia selari dengan peranan seorang hakim dalam sistem kehakiman?” soalnya.
Justeru beliau berharap kerajaan dapat memberikan penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan, khususnya dalam memastikan keadilan dan ketelusan dalam pelantikan anggota lembaga serta peranan kementerian dalam proses tersebut.