Home Berita PAS Terengganu

Duyong Marina & Resort Kongsi Rezeki, Agih 2,000 Bubur Lambuk

5
SHARE

KUALA TERENGGANU –Mengambil keberkatan bulan Ramadan yang bakal tiba, Duyong Marina & Resort (DMR) mengagihkan sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk kepada komuniti sekitar, hari ini.

Pengurus Besarnya, Wan Faizul Wan Abas berkata program Agihan Bubur Lambuk itu juga merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menjadi tradisi setiap tahun.

Menurutnya, pengagihan Bubur Lambuk tidak tertumpu pada aktiviti memasak dan menyediakan hidangan semata-mata, tetapi sebagai komitmen untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Program ini bukan sekadar satu tradisi tahunan tetapi juga sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan DMR terhadap komuniti setempat.

” Kami berharap inisiatif ini dapat menyebarkan keberkatan Ramadan dan mengeratkan lagi hubungan dengan masyarakat sekitar,” ujarnya kepada pemberita.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, 500 bekas bubur lambuk diberikan kepada orang ramai di
Jambatan Sultan Mahmud, sementara selebihnya diagihkan kepada penduduk sekitar Pulau
Duyong melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Tambah beliau lagi program bermula seawal 8.00 pagi di Marina Garden dengan sesi gotong-royong memasak, diikuti dengan proses pembungkusan sebelum bubur lambuk diserahkan kepada penerima.

Program itu juga  turut mendapat sokongan dan bantuan daripada wakil-wakil JPKK Pulau Duyong, yang bersama-sama berganding bahu dalam penyediaan dan pengagihan bubur lambuk.

Sementara itu, Wan Faizul berkata Duyong Marina & Resort menawarkan Bufet Ramadan menjanjikan pengalaman berbuka puasa yang istimewa dengan menu disediakan khas untuk memuaskan selera pengunjung.

“Para tetamu berpeluang menikmati pelbagai hidangan tradisional
dan moden dengan harga RM85+ bagi dewasa dan RM45+ bagi kanak-kanak,” katanya.