Home Berita PAS Terengganu

Kejohanan Ping Pong perkasa belia dan komuniti

7
SHARE

MARANG – Kejohanan ping pong bukan sekadar pertandingan, tetapi satu inisiatif untuk membangunkan bakat, menyatukan komuniti, dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan belia Terengganu.

Ketua Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Kawasan Marang, En. Harizuddin Mohamad, berkata kejohanan ini menarik penyertaan 24 pasukan dari beberapa daerah, termasuk Kemaman, Dungun, Kuala Nerus, dan Marang.

Menurutnya, Kejohanan Ping Pong Tertutup Terengganu Piala Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) dianjurkan oleh DACS Kawasan Marang dengan matlamat mencungkil bakat baharu dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan belia.

“Tahniah kepada para peserta atas semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan. Persaingan sangat sengit dalam usaha mencari juara,” katanya ketika dihubungi pihak media berkenaan program yang berlangsung di Dewan Badminton Kampung Gelugor, Marang, baru-baru ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa juara kejohanan akhirnya menjadi milik Faris dari TATI Kemaman, berjaya mengungguli pertandingan dengan persembahan bertenaga serta teknik permainan yang mantap.

Selain mencungkil bakat baharu dalam sukan ping pong, kejohanan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara komuniti dari seluruh Terengganu.

“Penganjuran kejohanan ini membuktikan komitmen DPPKM dan DACS Kawasan Marang dalam mempromosikan sukan sebagai medium penyatuan masyarakat dan pembangunan belia.

“Semoga kejohanan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program yang memberi manfaat kepada komuniti serta terus memperkasakan sukan dalam kalangan belia,” tambah beliau.