Home Berita PAS Terengganu

Terengganu terus laksana Wad Kelas Ketiga Percuma hingga 2028

16
SHARE

KUALA TERENGGANU – Rakyat Terengganu boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri mengumumkan program Wad Kelas Ketiga Percuma akan disambung sehingga tahun 2028 walaupun berdepan sekatan royalti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan ini dibuat selepas mendapat kelulusan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.

“Alhamdulillah, kerajaan negeri telah meluluskan kertas kerja untuk menyambung kontrak program Wad Kelas Ketiga Percuma bermula tahun 2025 hingga 2028,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.

Beliau menegaskan, sebelum ini pelaksanaan program ini disambung secara tahunan, namun kali ini ia diberikan jaminan selama tiga tahun sekali gus.

“Langkah ini diambil bagi memastikan kelangsungan program yang telah memberi manfaat besar kepada rakyat sejak diperkenalkan pada tahun 2020.

“Kita melihat program ini benar-benar diperlukan rakyat.

“Ia memberikan impak positif kepada masyarakat, justeru kerajaan negeri berusaha mencari sumber dana bagi membiayai program ini,” tambahnya.

Menurut Wan Sukairi, dana bagi menampung kos program ini bukan sahaja datang daripada peruntukan kerajaan negeri, malah turut disokong oleh sumbangan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sebagainya.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM4 juta setahun bagi memastikan kelangsungan program ini.

“Dengan peruntukan tersebut, ribuan pesakit dari golongan kurang berkemampuan bakal terus menerima rawatan tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Kerajaan komited untuk memastikan rakyat terus menerima manfaat kesihatan secara percuma serta berusaha mengukuhkan sumber kewangan agar program ini dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan,” ujarnya.