KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan membuat semakan semula Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan negeri.
Ketua Jabatan Penyelidikan & Pembangunan Dasar Institut Strategik dan Integriti Terengganu (TSIS), Mohd Eikhwan Ali berkata, pihaknya diberi tanggungjawab untuk menyelia semula garis panduan tersebut bersama dengan jabatan atau agensi.
Juga kerjasama itu menurutnya akan turut membabitkan Bahagian Kerajaan Tempatan, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Terengganu (JHEAT), Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu (JPSNT).
“Juga melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu (JKSNT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
“Fokus utama semakan semula ini adalah untuk menambah baik (garis panduan) agar lebih komprehensif serta memperkukuh aspek penguatkuasaan dan pematuhan.
“Ini termasuklah perundangan dan menangani cabaran pelaksanaan secara holistik,” ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Eikhwan berkata TSIS percaya bahawa garis panduan itu akan menjadi nilai tambah penting terhadap pembangunan sosial dan ekonomi selaras slogan yang diangkat oleh kerajaan negeri iaitu ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.
“Komitmen semua pihak amat diperlukan untuk memastikan garis panduan ini mampu diterapkan dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Terengganu.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha ini,” kata beliau.
Terdahulu, beliau merakamkan perasaan syukur kerana pagi tadi telah diadakan satu mesyuarat khusus bagi menyemak semula Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Mesyuarat itu menurutnya telah dipengerusikan oleh Timbalan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Mohd Ridzuan Hashim.