Home Berita PAS Terengganu

Vape lebih bahaya daripada Morphin

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Penggunaan vape jenis tertentu didakwa boleh menyebabkan kerosakan otak hanya dalam tempoh 14 hari, jauh lebih pantas daripada kesan morphin yang mengambil masa 40 tahun untuk merosakkan akal manusia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah mendedahkan kebimbangan ini berdasarkan satu kajian yang menunjukkan bahawa vape jenis ‘mushroom’ boleh menyebabkan penyakit mental dalam tempoh dua minggu sahaja.

“Morphin memerlukan 40 tahun untuk merosakkan akal, tetapi vape jenis ‘mushroom’ hanya memerlukan 14 hari. Ini sangat membimbangkan,” kata beliau kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Beliau juga berkongsi bahawa pusat pemulihan dadah Darul Barakah menerima banyak kes ibu bapa yang membawa anak-anak mereka kerana ketagihan vape.

Malangnya kata beliau, tiada pelan pemulihan yang tepat kerana vape memberi kesan terus kepada mental, bukan sekadar ketagihan biasa.

“Kesannya bukan sekadar ketagihan fizikal, tetapi juga menyebabkan gangguan mental yang serius.

“Mereka sepatutnya mendapatkan rawatan di hospital, bukan di pusat pemulihan dadah,” tambahnya lagi.

Menurut Wan Sukairi, Kerajaan negeri dalam perbincangan akhir untuk melaksanakan pengharaman vape secara menyeluruh di negeri ini.

“Jika cadangan ini diluluskan, pengharaman ini bukan hanya tertumpu kepada vape jenis ‘mushroom’ sahaja, tetapi melibatkan semua perisa vape tanpa pengecualian,” tegasnya.