Oleh : Fatimah Din
Foto : Ammaar Salehuddin
MARANG – Program Sembang Usahawan berupaya merapatkan jurang antara para usahawan dengan agensi yang terlibat.
Pengerusi Portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, secara tidak langsung ia juga membantu usahawan membangunkan ekonomi setempat.
“Program ini juga dapat memantau aktiviti pembangunan perniagaan dan menyalurkan maklumat.
“Selepas lapan daerah kita pergi, saya bercadang untuk pergi ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pula,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya, di sini, baru – baru ini.
Pada program tersebut, sebanyak 14 agensi telah mengambil bahagian antaranya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) , Majlis Daerah Marang (MDM), Pejabat Daerah Marang, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDM) , MARA, SME CORP, SKM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit.
Sementara itu, menurut beliau terdapat 78 Industri Kecil Sederhana (IKS) seluruh Terengganu dan ramai diantaranya berkolaborasi dengan pihaknya sehingga dapat mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.
“Kami juga turut menubuhkan Majlis Usahawan Koperasi, Peniaga Kecil Peringkat Daerah Marang.
“Selain itu Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk disalurkan kepada IKS, ” ujarnya.