BESUT – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) memuji usahasama dijalinkan anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Xiangxi Furong Town Cultural & Tourism Development Co. Ltd untuk mengetengahkan keunikan Terengganu di wilayah negara China itu.
Pengarah Tourism Terengganu, Ahmad Rdzwan Abd Rahman menyifatkan memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak itu sangat tepat berikutan Terengganu yang memiliki keindahan pulau dan pesisir pantai saling melengkapi Xiangxi yang kaya dengan keunikan gunung-ganangnya.
“Ini merupakan satu inisiatif daripada anak syarikat kerajaan negeri Terengganu dan membuktikan komitmen GLC serta swasta akan dapat membantu meningkatkan lagi tahap permintaan industri pelancongan di Terengganu ini.
“Untuk hari ini, MOU yang ditandatangani daripada pihak Terengganu Inc dan Xiangxi merupakan satu kolaborasi untuk kita mengenal pasti produk-produk pelancongan di antara dua tempat ini, sudah tentu di Xiangxi mempunyai permintaan yang tinggi dari (pelancong) China.
“(Perkara) ini akan meluaskan promosi untuk negeri Terengganu di persada antarabangsa.
“Setakat ini kita dapati Pulau Redang mendapat tumpuan mereka, jadi dengan adanya MOU yang dibuat di Perhentian Marriot Resort & Spa, kita akan mendapat pasaran dari China untuk Pulau Perhentian pula,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut pada Sabtu.
Tambahnya, Tourism Terengganu akan terus menggiatkan usaha mengangkat budaya dan kesenian tempatan dalam memastikan usahasama itu berlangsung dengan baik.
“Sebenarnya, produk sedia ada kita sudah ada banyak dari segi aktiviti budaya dan produk bersifat kesenian. mereka (Xiangxi) juga mempunyai budaya yang tersendiri dan melalui kolaborasi ini, kita akan boleh menjalinkan konsep pertukaran budaya (pengetahuan)
“Untuk seterusnya, kita akan sentiasa berhubung dan MOU ini bukan sekadar persefahaman sahaja, kita akan mengambil tindakan seterusnya untuk memastikan apa usaha-usaha yang kita boleh jalinkan secara bersama,” katanya.