Home Berita PAS Terengganu

Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf

23
SHARE

DUNGUN – Kolej Islam Darul Iman menjadi institusi pendidikan pertama di negeri Terengganu yang dibina berdasarkan konsep wakaf di atas tanah hasil sumbangan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya sangat menyokong penubuhan institusi pengajian tinggi itu sekali gus menyuburkan pendidikan Islam di Terengganu.

Ujarnya, insititusi itu akan dibina di atas tanah anugerah kerajaan berkeluasan 70 ekar di Santong berhampiran balai bomba yang dijangka memulakan operasi pertamanya dalam masa dua tahun lagi.

“Setelah siap bangunan pentadbiran yang kosnya dijangka hampir 10 juta, akan terus dibuka kerana di situ akan ada dewan kuliah dan sebagainya di samping itu keluasan tanah ini akan digunakan untuk menampung pembinaan satu kompleks yang dilengkapi asrama, masjid dan kompleks sukan.

“Di bangunan pentadiran ini juga di samping adanya bilik-bilik kuliah juga akan ada dewan besar dan sebagaiya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, di Jalan Santong, Paka, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata kolej itu dibina berdasarkan konsep wakaf kerana ia menjadi milik orang ramai bukan hak mana-mana individu mahupun kerajaan tetapi institusi milik masyarakat.

“Kita turut sama berbangga dan menyokong serta memberikan sumbangan bagi memastikan institusi milik umat kita sendiri ini berjaya dibina,”ujarnya.

Tambah beliau, pihak kerajaan negeri juga turut membantu bagi memastikan pengajian yang ditawarkan oleh pihak kolej itu membabitkan peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) untuk Pengajian Islam maka ia telah didaftarkan di bawah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).