MARANG – Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja Dan Peniaga Kecil peringkat daerah di Terengganu bermula tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata ia bagi merancang, melaksana serta memantau pelbagai aktiviti pembangunan yang dapat membantu meningkatkan kesejahteraan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil di Terengganu.
Menurutnya, ia termasuk membantu penyaluran maklumat antara usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil berkenaan fungsi, peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (Kuskop), termasuk agensi-agensi kerajaan di peringkat daerah, negeri dan persekutuan yang berkaitan.
“Tujuan kita nak membantu usahawan membangunkan ekonomi setempat serta menimbang dan mencadangkan penambahbaikan serta penyelesaian isu berkaitan usahawan.
“Dalam masa sama nak merapatkan jurang dan meningkatkan kerjasama di antara usahawan dan jabatan dan agensi,”katanya kepada pemberita selepas Program Jejak Usahawan Daerah Marang, semalam.
Tambahnya, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing dan dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan seperti Koperasi, Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU), Tekun dan pihak-pihak berkenaan termasuk persatuan penjaja serta usahawan.
Dalam masa sama, pihaknya juga mengadakan jejak usahawan setiap daerah untuk melihat sendiri permasalahan dan keperluan mereka dengan bantuan agensi terbabit yang akan turun bersama-sama.