Home Berita PAS Terengganu

Makin Ramai Anak Muda Terengganu Pilih Pertanian Sebagai Kerjaya

20
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sangkaan bahawa anak muda tidak berminat dalam bidang pertanian ternyata meleset selepas semakin ramai golongan muda di Terengganu memilih pertanian sebagai kerjaya utama mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim mendedahkan bahawa sebahagian besar penerima bantuan pertanian di Terengganu adalah anak muda.

“Penternak lembu sado? 80 peratus anak muda! Peserta fertigasi? Terengganu nombor satu di Malaysia dengan 700 peserta.

“Ini membuktikan bahawa pertanian bukan lagi profesion lapuk, tetapi industri masa depan yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam.

Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Hadir sama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Menurut beliau, kejayaan PSPT 2019-2023 telah membuka mata ramai belia terhadap potensi dalam sektor ini.

“Melalui sesi libat urus dan dialog di seluruh negeri, kami dapati majoriti peserta adalah anak muda yang berkelulusan tinggi dan berhasrat menjadikan pertanian sebagai kerjaya mereka,” jelasnya.

Menyedari trend ini, Azman turut menambah bahawa PSPT 2024-2030 akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan muda.

“Kami mahu mereka bukan sekadar bekerja dalam industri ini, tetapi menjadi usahawan pertanian yang berjaya.

“Oleh itu, lebih banyak bantuan, latihan, dan akses kepada teknologi moden akan disediakan,” ujarnya.