Home Berita PAS Terengganu

Kedah jadi rujukan Terengganu dalam pengurusan sisa pepejal

29
SHARE

ALOR SETAR – Kerajaan Terengganu menjadikan Kedah sebagai rujukan bagi pelaksanaan Akta 672 (Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007) dalam usaha meningkatkan keberkesanan pengurusan sisa pepejal serta kebersihan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata pelbagai faktor perlu dipertimbangkan sebelum akta ini dapat dilaksanakan bagi memastikan sistem pengurusan sisa pepejal lebih sistematik dan lestari.

“Kehadiran delegasi kerajaan negeri ke Kedah hari ini adalah untuk melihat sendiri pelaksanaan Akta 672 yang telah dikuatkuasakan di Kedah sejak 15 tahun lalu.

“Terengganu masih belum menandatangani pelaksanaan akta ini, sama seperti Perak dan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut, semalam.

Ketibaan beliau bersama 22 delegasi di Wisma Darul Aman telah disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, Mejar (B) Mansor Zakaria.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid.

Dalam pada itu, Wan Sukairi memaklumkan, kerajaan negeri telah menjalankan beberapa kajian serta lawatan ke beberapa buah negeri sebelum ini, termasuk ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Negeri Selangor.

“Tujuannya bagi mendapat maklumat lebih mendalam sebelum membawa perkara ini kepada perbincangan yang lebih khusus di peringkat negeri,” ujarnya.

Sementara itu, Mejar (B) Mansor Zakaria menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu atas kesudian hadir bagi mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pelaksanaan pengurusan sisa pepejal di Kedah.

“Apa yang kami kongsikan hari ini adalah terbuka kepada semua. Negeri Kedah melihat pelaksanaan Akta 672 sebagai satu keperluan penting kerana ia telah membantu mengurangkan aduan berkaitan sampah.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menerima manfaat melalui program kemasyarakatan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang bertanggungjawab dalam pengurusan sisa pepejal,” katanya.