Home Berita PAS Terengganu

Malaysia dalam bahaya, DAP pura-pura faham islam

117
SHARE

MARANG – Malaysia kini berada dalam bahaya apabila parti DAP berpura-pura faham mengenai Islam sehingga seringkali dilihat berlaku percubaan mencampuri urusan umat Islam dan menuntut sesuatu yang tidak relevan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu dapat dilihat melalui Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui mempertikaikan tentang hak orang Islam.

Menurut beliau, amat dikesali kerana DAP menunjukkan mereka kononnya mengambil cakna tentang Islam dan juga agama-agama selainnya pada hakikatnya jelas mengandungi agenda tersembunyi.

“Juga telah dituntut supaya mewujudkan Kementerian Hal Ehwal Agama Bukan Islam, pada hakikatnya kita perlu sedari bahawa DAP adalah sebuah parti yang tidak berlandaskan kepada agama.

“itu boleh dilihat dari Perlembagaan DAP, sebenarnya mereka memperjuangkan Malaysian Malaysia dan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk dan Mikraj di Masjid Kampung (Kg) Rawai, di sini, kelmarin.

Tegas Khalil, tindakan DAP itu dilihat melampau melalui ucapan dan tuntutan yang sengaja menyentuh sensitiviti rakyat di negara ini terutama kepada mereka yang beragama Islam.

“Sedangkan kita sudah hidup dalam keadaan aman dan damai keranaa pengorbanan orang Melayu Islam dan juga Bumiputera yang berjiwa besar menerima masyarakat pendatang yang dibawa oleh penjajah British sebagai warganegara setelah negara mencapai kemerdekaan.

“Mereka sepatutnya menghormati Malaysia sebagai sebuah negara yang dihuni oleh majoriti masyarakat Islam dan Islam merupakan agama rasmi persekutuan diambil daripada semangat negeri-negeri di bawah Persekutuan Tanah Melayu yang menjadikan Islam sebagai agama negara.

“Sejak zaman kesultanan Melayu Islam sehingga kewujudan Malaysia apabila mencapai kemerdekaan itu dapat dilihat daripada undang-undang tubuh negeri seperti Terengganu, Johor, Selangor, Kelantan dan lain-lain,”ucap beliau.