MARANG – Hukuman sebat di khalayak ramai yang dilaksanakan pada penghujung tahun lalu terhadap pesalah khalwat berulang bukanlah untuk menerima sebarang respon maklum balas sama ada positif ataupun negatif.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebaliknya ia dijalankan kerana kewajipan serta tuntutan dalam agama Islam supaya ia menjadi pengajaran sekali gus mendidik masyarakat.
“Kita menyedari apabila ia dilaksanakan akan menerima pelbagai respon dan saya melihat langkah-langkah yang diambil sangat berhati-hati dan bijaksana.
“Alhamdulillah kita berjaya melaksanakannya dengan baik dan sempurna,”ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas merasmikan Karnival Indahnya Hidup Bersyariat dan Bulan Penghayatan Israk Mikraj, di Masjid Kampung Rawai, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata hukuman sebatan itu bukan perkara baru di dalam Islam sebaliknya ia sudah lama dilaksanakan.
“Tetapi kita mahu ia dilihat oleh masyarakat kerana itu kita buat di luar penjara dan menjadikan negeri pertama melaksakannya di Malaysia, Alhamdulillah,”ujarnya.
Tegas beliau, apa yang penting ialah kerajaan negeri akan terus memikirkan cara-cara seterusnya untuk memperkasakan agenda pemerkasaan syariah di Terengganu.
“Ini termasuklah dari aspek enakmen pelaksanaan hukuman dan lain-lain lagi,”katanya.