PAS Wilayah Persekutuan memandang serius isu kekurangan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) yang semakin meruncing sejak 2023. Keadaan ini telah memberi tekanan besar kepada rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah yang terpaksa membeli beras import pada harga yang lebih tinggi.
Pendedahan terbaru mengenai beras tempatan yang dikampit semula sebagai beras import dan dijual pada harga lebih mahal menambahkan lagi kebimbangan terhadap ketelusan industri padi dan beras negara. Lebih membimbangkan, penutupan kilang padi Bumiputera akibat monopoli pasaran semakin menjejaskan daya saing pengusaha tempatan, seperti yang berlaku kepada Kilang Dibuk Sdn. Bhd. di Perlis.
KEGAGALAN DASAR DAN PENGURUSAN BERAS
Apakah situasi ini menggambarkan akan kegagalan kerajaan dalam mengawal selia industri padi dan beras? Ia jelas memberi kesan buruk kepada petani, pengilang, dan pengguna. Struktur pasaran yang berat sebelah memberi kelebihan kepada syarikat besar sementara pengusaha kecil terus terpinggir.
Kerajaan juga dilihat masih gagal menyemak semula dasar harga beras putih tempatan yang tidak berubah sejak 16 tahun lalu, walaupun kos operasi dan sara hidup semakin meningkat. Ketidakseimbangan ini menyebabkan lebih banyak kilang padi Bumiputera berdepan risiko gulung tikar.
TUNTUTAN PAS WILAYAH PERSEKUTUAN
Bagi menangani krisis ini, PAS Wilayah Persekutuan menuntut agar kerajaan segera mengambil langkah berikut:
1. Menstruktur semula dasar harga beras putih tempatan agar lebih adil kepada pengusaha dan pengguna.
2. Mengenakan kawalan harga terhadap beras import untuk mengelakkan manipulasi pasaran.
3. Menghentikan monopoli pasaran beras yang menekan kilang-kilang padi Bumiputera dan petani tempatan.
4. Menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat penyelewengan dalam industri padi dan beras.
5. Memperketatkan penguatkuasaan terhadap pihak yang mencampur beras tempatan dengan beras import bagi meraih keuntungan berlebihan.
6. Menyalurkan bantuan kewangan bersasar kepada kilang padi Bumiputera yang masih beroperasi agar mereka dapat terus bertahan.
PAS Wilayah Persekutuan komited untuk terus memperjuangkan hak petani, pengilang, dan pengguna. Kami akan menggerakkan semua jentera bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan segera bagi menangani masalah ini sebelum ia menjadi lebih parah.
Dr Rosni Adam
Timbalan Pesuruhjaya 3
PAS Wilayah Persekutuan