Home Berita PAS Terengganu

Garis Panduan Penting Dalam Memastikan Keharmonian Bersama

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron berpendapat, cadangan mewujudkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja penting untuk menjaga seorang Muslim tetapi melibatkan masyarakat bukan Islam dalam memastikan keharmonian bersama.

katanya, garis panduan itu bertujuan bagi memupuk rasa hormat-menghormati antara semua pihak selain mengelakkan sebarang ketegangan yang mungkin timbul akibat salah faham dalam isu berkaitan agama.

“Pada asasnya garis panduan ini penting sebab ia bukan sahaja menjaga umat Islam tetapi juga melibatkan bukan Islam. Maknanya semua pihak akan lebih menjaga dan menghormati keperluan masing-masing.

“Ia baik untuk menjaga keharmonian semua pihak bukan sahaja pada umat Islam tetapi bukan Islam supaya saling berhati-hati dan menjaga kehormatan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas sebuah program di sini semalam.

Mohamad Sabri berkata, perkara tersebut akan dibincangkan dalam muzakarah pada bulan ini sebelum dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

“Mengenai lokasi (muzakarah) difahamkan diadakan di Kuala Lumpur. Jadi bagi saya perkara itu (garis panduan) elok tetapi ia akan dibawa dalam muzakarah dan kita pun tidak pasti macam mana.

“Kita akan tengok dahulu sebab ia melalui proses dan selepas dari muzakarah ini akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan, jadi kita tunggu resolusi dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabri menyatakan perbincangan secara menyeluruh terhadap isu tersebut adalah penting bagi memastikan garis panduan tersebut dapat diterima oleh semua pihak.