Home Berita PAS Pahang

Dompet tak menangis – baucer sekolah jadi penyelamat

69
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 11 Feb. – Ibu bapa kepada lebih 150 pelajar merasa lega menerima baucer persekolahan daripada Pusat Khidmat DUN Beserah dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di sini pada Sabtu dan Ahad baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat lega! baucer ini memang betul-betul membantu membeli pakaian, kasut dan peralatan sekolah, memang banyak guna duit. Bila dapat baucer ni, sekurang-kurangnya dompet tak menangis!,” kata salah seorang ibu tunggal, sambil ketawa kecil di Pasaraya Sakan Balok ketika membelanjakan baucer yang telah diterima untuk empat orang anaknya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah YB Dato’ Andansura Rabu berkata pembelian pakaian, peralatan sekolah sangat penting bagi memberi semangat kepada anak-anak untuk kembali bersekolah.

Beliau mengharapkan agar ibu bapa fokus kepada memberi pendidikan dan pelajaran kepada anak-anak demi masa depan mereka walaupun berdepan dengan cabaran hidup.

Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada para penyumbang Tabung Prihatin DUN Beserah yang telah membantu menjayakan inisiatif kebajikan bagi membantu mereka yang memerlukan, termasuk NGO Iman Care dan Helwa Care Kuantan.

Sementara itu, Ketua Cawangan Beserah Tengah Mohd Hafizi Hamid juga merakamkan penghargaan kepada ahli jawatankuasa cawangan yang telah berusaha mencari dana dan kepada penyumbang yang sangat membantu meringankan bebanan seramai 43 orang pelajar dari cawangannya.

Menurutnya aktiviti ini merupakan aktiviti tahunan yang sentiasa mendapat sokongan dari masyarakat yang sama-sama ingin membantu mereka yang memerlukan terutama dalam keadaan ekonomi yang sangat membebankan ibu bapa.

Katanya, semoga usaha ini membawa rahmat dan keberkatan kepada semua pihak serta masyarakat secara keseluruhannya.