Home Berita PAS Sabah

Kami bukan hanya datang beri bantuan tetapi sokongan”

55
SHARE

Oleh: Nurfatiha Mohamad
9 Februari 2024

KINABATANGAN: “Kami bukan hanya datang memberi bantuan, tetapi juga untuk memberi sokongan moral dan semangat kepada mereka yang sedang melalui ujian berat,” kata Timbalan Yang Dipertua PAS Kinabatangan, Jumaidin Lakalla.

Menurutnya, hujan lebat dan banjir yang melanda Kampung Sri Manis meninggalkan kesan mendalam di hati setiap mangsa yang terlibat.

Tambahnya, dalam kesusahan itu, kehadiran pasukan PAS kawasan memberi sinar harapan dan semangat baru bagi mereka yang diuji dengan ujian berat ini.

“Kehadiran kami di sini adalah untuk menunjukkan bahawa kita semua bersatu dalam menghadapi musibah ini.

“Kami mengambil risiko menaiki perahu kecil untuk sampai ke rumah mangsa yang terperangkap, bagi mempamerkan semangat persaudaraan yang tidak mengenal batas,” kata Jumaidin yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan semasa edaran di kampung tersebut di sini baru-baru ini.

Program anjuran bersama PAS Kinabatangan serta Biro Kebajikan dan Keprihatinan Sosial Dewan Muslimat PAS Sabah itu telah mengedar sebanyak 23 pek makanan berupa air mineral, beras dan telur kepada mangsa yang terkandas akibat bencana banjir.

Terdahulu, hujan yang berterusan sejak 31 Januari telah mengakibatkan banyak kawasan sekitar Kinabatangan dinaiki air.

Menurut Jumaidin, keadaan rumah-rumah yang dikelilingi air mencerminkan penderitaan yang terpaksa dilalui oleh setiap penghuni di situ.

Tambahnya, ada penduduk yang terpaksa merangkak ke kawasan tinggi untuk mencari tempat selamat, ada yang kehilangan harta benda yang susah payah dikumpul selama bertahun-tahun.

“Namun, meskipun dalam keadaan serba kekurangan, ketabahan dan keteguhan mereka begitu jelas terpancar.

“PAS kawasan tidak hanya memberikan bantuan kewangan dan barangan asas, tetapi juga dengan sebuah harapan yang tulus agar penduduk kampung tahu bahawa mereka tidak pernah sendirian.

“Bantuan yang disampaikan tidak hanya berupa bahan fizikal, tetapi juga doa dan kasih sayang daripada seluruh komuniti PAS,” tambahnya.

Dalam suasana penuh hiba, ramai mangsa banjir yang menerima kunjungan tersebut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih atas kepedulian yang diberikan.

Salah seorang Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sri Manis, Juri Ingkarot @ Abd Halim melahirkan rasa terima kasih dan terharu dengan bantuan yang diberikan

“Kami tidak tahu bagaimana hendak berterima kasih.

“Kehadiran kalian memberikan harapan kepada kami yang sudah hampir putus asa,” ujarnya dengan nada sebak.