Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Keberkatan dalam kepimpinan yang berprinsip Islam terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan kesejahteraan rakyat.
Namun, kekangan kewangan akibat sekatan pembayaran royalti minyak dilihat sebagai cabaran utama dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) negeri Terengganu, Alex Chan Foo Yew menyatakan rasa kagum terhadap usaha gigih pemimpin dalam melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
“Apa yang saya nampak, pemimpin PAS tengah usaha sebab tanggungjawab sebagai seorang Islam utk melaksanakan tuntutan kerana cinta kepada Allah SWT.
“Perlaksanaan ini akan membawa berkat kepada semua,” jelasnya ketika dihubungi pada hari ini.
Beliau turut menyatakan bahawa pada penggal pertama pentadbiran kerajaan negeri, banyak projek bermasalah terpaksa dipulihkan.
“Dulu saya terkejut dan tak sangka kerajaan dapat menguruskan negeri dengan baik dalam keadaan terpaksa baiki pulih banyak projek yang rugi teruk pada panggal pertama.
“Meskipun begitu, kerajaan berjaya mengurus negeri dengan baik.
“Tapi malangnya penggal ni duit disekat, banyak yang kerajaan negeri nak buat tapi tak dapat dibuat 100 peratus,” katanya.
Justeru, beliau berharap Kerajaan Persekutuan segera membayar semula royalti minyak kepada Terengganu supaya kerajaan negeri dapat meneruskan dasar pembangunan yang telah dirangka.
Beliau turut menzahirkan rasa senang melihat kepimpinan kerajaan negeri yang konsisten dengan dasar perjuangan mereka.
“Dasar perjuangan kerajaan PAS tidak berubah, saya banyak bersama Ahli Yang Berhormat (YB) Parlimen Kuala Terengganu dan ADUN Bandar, suka tengok cara mereka selalu buat benda baik dan tolak benda yang tak molek, amal sikap amar maaruf nahi mungkar, ada perhintungan dosa serta pahala,” ujar Alex.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Islam wajib memimpin perpaduan kerana keadilan adalah untuk semua.
“Islam wajib memimpin perpaduan sebab Islam adil untuk semua,” ujar Alex.
Beliau yakin, Kerajaan PAS Terengganu terus komited dalam memastikan agenda pentadbiran yang telus, berintegriti dan berpaksikan keadilan Islam demi kesejahteraan rakyat negeri ini.