KUALA TERENGGANU – Konsep negeri berkebajikan terus diperjuangkan di Terengganu dengan penekanan bahawa bantuan kepada golongan memerlukan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, rakyat perlu memahami bahawa Terengganu bukanlah sebuah ‘negeri kebajikan’ di mana segala keperluan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya sebuah negeri ‘berkebajikan’ yang menuntut penglibatan aktif masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.
“Kita kena ubah minda dan persepsi masyarakat kerajaan bantu rakyat, rakyat bantu kerajaan.
“Kita juga perlu mengambil cakna terhadap jiran sekeliling. Jika ada orang susah, adakah kita hanya mengharapkan kerajaan menyelesaikannya? Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab bersama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu bilangan 1 tahun 2025 di Dewan Sinar Harapan, pada hari ini.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan keikhlasan dalam bekerja serta integriti yang bukan hanya berdasarkan pemerhatian pihak atasan tetapi lahir daripada nilai amanah dan tanggungjawab.
Dalam konteks kesihatan mental, fizikal, dan rohani keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan individu.
“Kesihatan rohani sangat penting dalam kehidupan kita.
“Rohani perlukan kepada pemakanan dan bagaimana kesihatan rohani kita menyebabkan kehidupan menjadi tenang.
“Suasana yang berlaku sekarang ini ialah berkaitan dengan kesihatan mental, spiritual, banyak berlaku berkaitan kecelaruan minda menyebabkan satu suasana yang boleh menyebabkan kekerasan dan penghinaan.
“Jadi apa yang kita tekan di sini ialah kita persiapkan diri dengan persiapan mental dan juga perasaan spritual suapaya kita ada kekuatan berdepan dengan kecelaruan masyarakat yang berlaku sekarang ini.
“Dengan suasasana tekanan hidup meningkat , ekonomi, boleh menyebabkan kita tak terkawal, boleh jadi stress,” ujar Maliaman.
Justeru itu, beliau turut mengharapkan agar tenaga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai kekuatan mental dan semangat juang yang tinggi untuk menangani tekanan kerja dalam membantu golongan memerlukan.
Selain itu, kita harapkan kakitangan J akan membantu ahli masyarakat untuk menjadi sukarelawan dalam membantu masyarakat supaya bebanan dan tanggungjawab ini tidak dipikul oleh ahli JKM sahaja tetapi itu adalah tanggungjawab bersama.
“Kakitangan JKM memang dibayar gaji untuk menjalankan tugas, tetapi anggota masyarakat juga tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.
“Kita semua perlu bersama-sama menjaga kestabilan dan keharmonian, seperti yang dapat kita lihat dalam insiden di Chukai baru-baru ini.
“Tanpa kehadiran pegawai JKM, masyarakatlah yang perlu bertindak,” tambahnya.
Beliau berharap konsep negeri berkebajikan ini terus diterapkan dalam jiwa rakyat Terengganu agar kebajikan bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi juga seluruh masyarakat.