Home Berita PAS Terengganu

PAS Ajil kehilangan tokoh lama

27
SHARE

Oleh : Azhar Yusof

HULU TERENGGANU – Ahli dan penyokong PAS dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menerima berita duka dan merasai kehilangan besar selepas pemergian seorang tokoh lama parti yang banyak berjasa kepada masyarakat setempat.

Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) Ajil, YB Ustaz Maliaman Kassim berkata, Allahyarham Saad Mamat merupakan seorang orang lama yang telah bersama PAS selama beberapa dekad.

“Beliau dikenali dengan sikap mesra, pengalaman luas dalam politik serta dedikasi tinggi dalam memperjuangkan idealisme parti.

“Selama hayatnya, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh akar umbi parti, dan membimbing generasi baharu dalam perjuangan PAS.” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah Allahyarham, pada Jumaat 31 Januari.

Tambah beliau, Allahyarham adalah seorang pejuang sejati. Keperibadiannya yang sederhana, kebijaksanaan dalam kepimpinan, serta komitmen tinggi terhadap perjuangan Islam menjadikan beliau orang lama yang amat dihormati.

Penduduk setempat, Makhtar Mohd, turut meluahkan rasa sedih terhadap pemergian beliau yang disifatkan, selama hayatnya, memainkan peranan penting dalam memperkukuh akar umbi parti, dan membimbing generasi baharu dalam perjuangan PAS.

“Beliau bukan sahaja seorang orang lama dalam politik, tetapi juga seorang guru dan mentor kepada ramai pemimpin muda dalam PAS. Kehilangannya amat dirasai,” ujar Makhtar.

Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Ajil dengan dihadiri oleh ahli keluarga, sahabat-handai serta pimpinan PAS dari pelbagai peringkat.

Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian, dengan ramai yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.