Home Berita PAS Terengganu

RMK13 : Peluang Terengganu jangkau pasaran ASEAN

9
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu kini bersiap sedia untuk mengharungi revolusi ekonomi melalui pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang bukan sahaja menawarkan peluang baru bagi negeri ini, tetapi juga membuka pintu kepada pasaran ASEAN yang besar, dengan lebih 700 juta penduduk.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Dato’ Nor Azmie Diron, menegaskan bahawa Terengganu perlu melangkah lebih jauh daripada pasaran domestik.

“Kita tidak boleh hanya melihat pasaran 30 juta penduduk di Malaysia.

“Produk dan perkhidmatan kita perlu merentasi pasaran ASEAN yang besar,” katanya dalam Sesi Libat Urus RMK13 di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato’ Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Menurut Nor Azmie, RMK13 membawa pendekatan baru dalam meningkatkan daya saing Terengganu dengan menumpukan perhatian kepada eksport dan pasaran luar negara.

“Dengan sokongan infrastruktur moden seperti East Coast Rail Link (ECRL), Terengganu kini mempunyai akses lebih mudah ke pasaran ASEAN dan dunia,” tambahnya.

Tambah beliau, ECRL memberi kelebihan dalam pengangkutan barangan dari Terengganu ke pelabuhan tempatan dan antarabangsa, menjadikan eksport lebih efisien dan lancar.

“Infrastruktur ini adalah asas utama untuk membuka peluang besar dalam eksport ke negara ASEAN dan seterusnya,” jelasnya.

Nor Amie turut menegaskan bahawa selain sektor pembuatan, peluang besar juga terbuka dalam pertanian, makanan, dan perkhidmatan.

“RMK13 bertujuan untuk menjadikan Terengganu sebagai hab ekonomi utama Pantai Timur yang berdaya saing di peringkat global.

“RMK13 dijangka akan memberi impak besar dalam pembangunan ekonomi negeri, serta meningkatkan kualiti hidup rakyat Terengganu, seiring matlamat mencapai kemakmuran yang lebih inklusif dan berdaya saing,” ujarnya.