Home Berita PAS Terengganu

Kerajaan negeri cadang bina litar permotoran di Kemaman, alukan pelabur

25
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu dalam perancangan untuk membangunkan sebuah litar permotoran baru di Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, walaupun perancangan itu masih dalam peringkat awal, kos pembinaan fasiliti yang tinggi menjadi cabaran utama dalam merealisasikan projek tersebut.

“Sebenarnya, jangkaan kita (kerajaan negeri) untuk perancangan dalam masa panjang yang kita ada buat masa ini adalah litar permotoran baru.

“Tanah pun kita dah ‘reserve’ untuk di Kemaman, Terengganu, tapi bila ia akan berjalan, saya belum pasti kerana sekarang ini mungkin tak mampu.

“Memang agak sukarlah, pada saya ia disebabkan oleh kos yang terlalu tinggi,” katanya dalam satu episod ‘Wheel Talk Podcast’ oleh Tarmacsportsmy baru-baru ini.

Menurut Hishamuddin, kerajaan Terengganu juga berbesar hati untuk memberikan kelulusan kepada pelabur yang berminat membangunkan litar terbabit.

Beliau turut berkongsi bahawa pihaknya telah melawat Litar Buriram di Thailand bersama Ron Hogg, Pengurus Petronas Malaysian Cub Prix, untuk meneliti formula pembangunan litar di sana.

“Dari segi rekaan dan infrastruktur, mereka telah mengkaji bagaimana aspek tersebut boleh diaplikasikan di Terengganu,” jelasnya.

Dalam perbincangan mengenai sukan permotoran di Terengganu, isu keselamatan di Litar Gong Badak turut dibangkitkan.

Hishamuddin dan Zulfahmie Khairuddin, bekas pelumba motosikal negara, bersetuju bahawa litar sedia ada tidak sesuai untuk perlumbaan kompetitif tanpa penambahbaikan aspek keselamatan.

“Untuk perlumbaan pun, kelengkapan fasiliti di litar Gong Badak mungkin tidak sesuai. Zulfahmie Khairuddin pun sebut macam itu.

“Memang tidak sesuai sebab ada beberapa aspek ‘safety’ yang perlu ditangani terlebih dahulu,” ulas beliau.

Oleh itu tambah beliau, pembinaan litar baru di Kemaman dilihat sebagai satu keperluan untuk memastikan perkembangan sukan permotoran di negeri ini terus maju sejajar dengan ‘scene’ sukan permotoran yang ada bukan sahaja di Terengganu, malah seluruh negara.

Selain kepentingan kepada pembangunan atlet, Hishamuddin turut bersetuju akan pandangan daripada pengacara bahawa litar dengan fasiliti yang lengkap juga berpotensi menjadi pemacu ekonomi dan pelancongan bagi negeri Terengganu.