Home Berita PAS Terengganu

Lebih Ramai Penceramah Wanita Diperlukan Sebagai Benteng Agama

10
SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

KUALA NERUS – Berada pada zaman yang amat mencabar hari ini memerlukan lebih ramai  ikon-ikon penceramah wanita sebagai benteng kepada agama, bangsa dan negara.

Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Isteri Wakil Rakyat (KHAIRUNISA), To’ Puan Sri Tuan Faezah Abd Rahman berkata dunia tanpa sempadan hari ini telah membuka ruang kepada berlegarnya pemikiran dan ideologi songsang mengadakan program-program atas nama memperkasakan wanita.

“Namun di sebaliknya terselit agenda  membenihkan  pemikiran feminisme dan liberalisme dalam kalangan wanita, inilah yang menjadi ancaman kepada dunia Islam kita berada sekarang ini.

“Justeru  menjadi tanggungjawab yang besar dan wajib dipikul oleh wanita yang datangnya dari Negeri Terengganu Darul Iman,” katanya.

Tuan Faezah berkata demikian dalam ucapan perasmian majlis penutup Pidato Gema Wawasan yang dibacakan oleh  Timbalannya, To’ Puan Zarani Othman.

Beliau berharap  program tersebut  akan memberikan ilmu dan kaedah yang lebih berkesan dalam penambahbaikan kaedah penyampaian penceramah.

“Dalam melahirkan ikon-ikon wanita dalam menyampaikan ceramah, penerangan dan komunisasi yang berkesan terutamanya dalam menyampaikan maklumat dan juga dalam kita menyampaikan Islam kepada seluruh masyarakat kita khususnya di Negeri Terengganu.

“Kehadiran mereka dalam zaman yang penuh dengan kemelut dan pergelutan   pemikiran  untuk menjernihkan semula pemikiran masyarakat khususnya  para wanita,” ujarnya.

Tambahnya lagi,  dengan kecanggihan media sosial yang ada,  tidak perlu menunggu jemputan daripada masjid ataupun dari mana-mana program untuk berpidato ataupun menyampaikan penerangan.

“Apa yang paling penting ialah kecanggihan yang ada di zaman ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baik dalam menyampaikan mesej Islam dalam dunia tanpa sempadan ini.

“Ini adalah satu platform mengangkat wibawa kreadibiliti wanita Terengganu ke peringkat yang lebih tinggi,” jelasnya.

Seramai lapan orang peserta yang mewakili lapan kawasan telah menyertai program yang diadakan di Dewan Auditorium Stadium Tertutup Gong Badak di sini pada 27 Januari.

Salsabila Harun, wakil dari Marang telah dinobatkan sebagai johan pidato yang telah masuk tahun ketiga diadakan.