Home Berita PAS Terengganu

Kenaikan harga kereta; Kesan terhadap pengguna dan industri

28
SHARE

Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS Pusat ingin menyuarakan kebimbangan mengenai kenaikan harga kereta yang dijangka berlaku pada tahun 2026, berikutan semakan cukai eksais bagi nilai pasaran terbuka (OMV, Open Market Value) terhadap kereta pemasangan tempatan (CKD).

Kenaikan harga ini dijangka akan melibatkan peningkatan harga antara 10% hingga 30%, yang pastinya memberi kesan besar kepada pengguna dan industri automotif di Malaysia.

PAS menggesa supaya Kerajaan Madani menimbang semula penetapan kaedah duti eksais yang baru pada 2026 melalui Warta Kerajaan – Kastam P.U (A) 402/2019, yang akan membebankan rakyat serta berpotensi memberi kesan negatif terhadap daya beli pengguna, terutamanya dalam pasaran kenderaan bagi kelompok rakyat terbanyak dalam negara ini.

PAS juga menggesa supaya Kerajaan Madani mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais ini yang mungkin mempengaruhi daya tahan syarikat-syarikat automotif tempatan, terutamanya yang terlibat dalam pemasangan kereta secara CKD, serta merencatkan pelaburan yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia pusat pengeluaran automotif yang berdaya saing di rantau ASEAN ini.

PAS sekali lagi ingin menggesa Kerajaan Madani supaya memberi perhatian lebih kepada kebajikan rakyat, dengan mempastikan sebarang perubahan dalam polisi fiskal tidak merugikan golongan pengguna, terutama dalam sektor yang menjadi keperluan asas seperti pengangkutan.

Kenaikan cukai oleh kerajaan Madani seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai digital dan cukai terhadap barangan tertentu dan penyelarasan subsidi diesel sememangnya memberi kesan kepada rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana peningkatan kos sara hidup secara keseluruhan.

Usahlah terus membohongi rakyat yang telah memberikan kepercayaan terhadap janji pilihanraya Pakatan Harapan tetapi akhirnya hanyalah menjadi “Janji Tinggal Janji”.

Yang Berhormat Ir Ts Khairil Nizam Khirudin

Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan PAS
Ahli Parlimen Jerantut