KUALA TERENGGANU – Kenyataan Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz, yang percaya beliau dapat menyelesaikan masalah padi dan beras dalam tempoh tiga bulan, menimbulkan persoalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, meluahkan keraguan terhadap cadangan NACCOL tersebut.
Menurut beliau, masalah padi dan beras bukanlah isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.
“Isu ini bukan sesuatu yang boleh selesai dalam tiga bulan sahaja.
“Ia melibatkan kenaikan kos yang memberi kesan mendalam kepada pesawah, dan kita perlukan lebih daripada sekadar janji kosong untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
Azman tidak menafikan kesan besar yang ditanggung oleh sektor pertanian akibat kenaikan harga diesel yang melambung tinggi.
“Kesan berantai kenaikan kos yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan harga diesel memang tidak dapat dinafikan.
“Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain semuanya telah naik, yang jatuh hanyalah air mata petani,” tambahnya dengan nada sinis.
Menurut Azman, mereka yang tidak memahami kesulitan pesawah ini hanya boleh berbicara dari pejabat berhawa dingin tanpa pernah merasai realiti mereka yang bekerja keras di sawah.
Azman turut mengusulkan supaya harga lantai padi dinaikkan dari RM1,300/tan kepada harga yang lebih wajar antara RM1,500 hingga RM1,800/tan.
“Peningkatan harga padi sudah tentu akan memberi kesan kepada harga beras, tetapi itu lebih baik berbanding beras tempatan yang disamar menjadi beras import dan dijual lebih mahal.
“Rakyat akan lebih menerima sedikit kenaikan harga beras demi menjaga kualiti dan kelestarian padi tempatan,” jelasnya.
Azman juga mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah-langkah konkrit, seperti membuka sekatan penjualan padi agar pesawah dapat menjual padi mereka ke kilang yang menawarkan harga tertinggi.
“Sekarang harga padi di Terengganu sudah naik ke RM1,550/tan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa NACCOL tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau menguatkuasakan undang-undang berkaitan padi.
“NACCOL tidak ada punca kuasa berkaitan kawalan dan penguatkuasaan fungsi kawal selia.
“Itu adalah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” jelasnya.
Azman turut mempersoalkan mengapa masalah yang sudah jelas di hadapan mata masih tidak ada penyelesaian yang konkrit.
“Ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga KPKM hilang keupayaan untuk bertindak?” soalnya.